‘Kecewa, tapi kami akur..’
AYER KEROH 29 Sept. – “Tipulah kalau kata kami tak kecewa, tetapi kami terpaksa akur kerana pandemik ini (COVID-19) bukan sesuatu yang boleh kita kawal”.
Demikian reaksi Pengurus Pasukan Piala Tun Sharifah Rodziah Melaka United Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah ketika mengulas mengenai penangguhan kejohanan berkenaan seperti yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.
Menurutnya, skuad bola sepak wanita Melaka sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan berkenaan, apatah lagi berbekalkan status juara bertahan pada edisi tahun lalu.
“Tapi nak buat macam mana. Bukan hanya kita kecewa, tetapi semua pasukan-pasukan lain pun alami nasib yang sama.
“Kalau ikutkan kita memang sudah buat persiapan rapi dari segi pemilihan pemain hinggalah ke sesi latihan sebab impian kita adalah untuk mengekalkan kejuaraan itu.
“Mungkin dari sudut positif kita boleh menganggap seperti kita dapat pegang piala itu lama sedikit sampai tahun depanlah memandangkan tarikh kejohnan itu bersambung belum diputuskan lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas mengenai aktiviti pemain wanita Melaka United selepas keputusan itu diumumkan, Siti Faidul Maisarah berkata pemain masih menjalani latihan dan aktiviti ringan seperti biasa bagi memastikan kecergasan mereka berada di tahap terbaik.
“Buat masa ini kita minta pemain untuk sentiasa berlatihan dan melakukan latihan sendiri. Aktiviti seperti futsal, ‘walking football’ dan lain-lain akan kita rangka sementara menunggu kejohanan akan datang,” katanya lagi.