Pemilik restoran Bumiputera Melaka sepakat bersama kembangkan perniagaan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DURIAN TUNGGAL 29 Sept. – Kira-kira hampir 100 pemilik restoran dan kafe di negeri ini mengadakan pertemuan antara satu sama lain bagi mencapai permuafakatan dalam perniagaan rentetan pasca penularan pandemik COVID-19.

Menurut salah seorang peniaga, berkata, pertemuan yang diadakan itu telah dihadiri hampir keseluruhan pemilik restoran dimiliki golongan Bumiputera negeri ini bagi bersama mengembangkan perniagaan antara satu sama lain.

Katanya, pertemuan yang julung kali diadakan itu sekali gus mewujudkan jaringan antara peniaga restoran dan kafe di negeri ini bagi merangka strategi dalam pemasaran selepas negara dilanda wabak terbabit.

“Kami bakal mewujudkan sebuah persatuan baharu yang dikenali sebagai Melaka Restaurant & Cafe Owner (MR&CO) sebagai membawa suara peniaga restoran dan kafe di negeri ini dalam mengendalikan bidang perusahaan yang kami ceburi di negeri pelancongan ini.

“Kolaborasi yang diadakan ini menampakkan impak positif antara satu sama lain malah pelbagai perkongsian turut dibicarakan daripada pemilik restoran Melayu yang sudah maju ke hadapan bagi memastikan tiada peniaga yang tertinggal dalam membangunkan industri ini.

“Pada pasca penularan pandemik ini, rata-rata peniaga menerima impak tinggi kesan daripada sektor pelancongan Melaka yang semakin meningkat, jadi, inilah pertemuan dan perbincangan yang perlu dilaksanakan agar masing-masing menerima manfaat agar tidak tertinggal ke belakang,” katanya yang juga merupakan pemilik Nasi Ayam Baba pada program MR&CO 1st Gathering diadakan di Restoran Kolok VS Laksa Sarawak, baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Mohamad Shirajuddin Bolhi, 34, berkata, pertemuan terbabit sekali gus membuka mata setiap peniaga terlibat dalam merangka strategi khususnya pemasaran di dalam perniagaan.

Ujarnya, kebanyakan peniaga telah diberi peluang bagi mengembangkan perniagaan bagaimanapun, mereka hanya berada di sekerat jalan disebabkan tiada bimbingan daripada golongan yang berpengalaman.

“Kerajaan telah banyak menyediakan peluang kepada peniaga termasuk pembiayaan daripada pelabagai agensi, namun kebanyakan mereka kekurangan bimbingan menyebabkan usaha mereka terhenti.

“Jadi dengan pertemuan seperti inilah yang mampu membuka mata antara satu sama lain bagi mendapatkan perkongsian pengalaman melalui pelbagai peluang yang perlu diambil bagi mengembangkan perniagaan sendiri.

“Sebagai peniaga, langkah strategik perlu diambil berdasarkan trend perniagaan terkini malah mereka perlu meletakkan pemikiran bahawa berniaga bukannya untuk bersaing, namun perlu berkongsi agar bersama maju kehadapan,” katanya.

Views:

885
Kongsi :
Previous post ‘Kecewa, tapi kami akur..’
Next post Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) pantau WKB2030
Ubah saiz-+=