Hanya bincang mengenai jentera PRU-15 – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 23 Ogos – Perjumpaan membabitkan pemimpin UMNO di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam tadi, hanya membincangkan mengenai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menjelaskan perkara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perjumpaan diadakan semalam juga bukanlah dianggap sebagai tergempar.

Ab Rauf yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, pihak parti bebas pada bila-bila masa untuk mengadakan perjumpaan jika memerlukan maklumat daripada negeri atau bahagian.

“Cumanya suasana kebetulan (sibuk) dengan isu semasa yang begitu hangat dan ini telah disalah tafsir dalam pelbagai sudut berbeza.

“Perjumpaan malam tadi kita cuma nak pastikan bahawa semua jentera pilihan raya seluruh negara bersedia hadapi PRU yang mungkin berlaku pada bila-bila masa dan kesiapsiagaan ini memberikan satu petunjuk kepada pucuk pimpinan dalam mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke -65 dan Hari Malaysia 2022 di pekarangan bangunan PKNM, di sini, hari ini.

Pada majlis sama turut diadakan perarakan dan pakaian berhias berkonsepkan kemerdekaan oleh murid Taska Anak Pintar PKNM dan penyerahan Jalur Gemilang kepada anak syarikat di bawah PKNM.

Sementara itu, ketika ditanya soal gabungan politik baharu bagi menghadapi PRU-15 katanya, perkara itu hanya akan dibincangkan selepas pilihan raya itu selesai diadakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1358
Kongsi :
Previous post Caj murah khidmat orang gaji dalam talian, taktik penipuan untuk jerat mangsa
Next post SWM bawa mesej cintakan negara dan alam sekitar
Ubah saiz-+=