Hanya satu kluster babitkan PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

MERLIMAU 6 Dis. – Hanya satu daripada tiga kluster aktif yang direkodkan di negeri ini membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dikesan sejak dua minggu lalu.

Exco Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, Kluster Pulau Gadong yang direkodkan itu membabitkan penularan dari tenaga pengajar di dua buah sekolah yang terlibat dalam PRN lalu.

Katanya, kluster itu membabitkan seramai 41 individu yang menerima jangkitan hasil daripada saringan daripada 185 individu.

“Kita baru dapat maklum, ada satu kluster yang berpunca daripada seorang tenaga pengajar yang mengajar di dua buah sekolah disahkan positif pada 25 Nov lalu.

“Mengikut catatan perjalanan, pengajar ini hadir berkempen semasa PRN manakala lain-lain hanya melibatkan lebih kluster sporadik, kluster pendidikan dan juga kluster kluster kontak rapat,” katanya pada sidang media di JAPERUN Merlimau di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah berkata, sebanyak 185 ujian saringan telah dibuat melibatkan kluster terbabit masing-masing merupakan pelajar dan tenaga pengajar berusia antara sembilan hingga 29 tahun di dua madrasah.

“Kedua-dua sekolah tersebut juga telah diarahkan tutup sehingga 17 dan 18 Disember ini bagi mengelakkan penularan wabak tersebut,” jelasnya.

Muhamad Akmal berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta kadar vaksinasi penduduk yang tinggi sepanjang proses PRN Melaka terbukti berjaya mengekang penularan wabak COVID 19.

Jelasnya, perkara itu dapat dibuktikan apabila kadar kes hanya mencatatkan sebanyak 4.6 peratus peningkatan kes jangkitan dikesan sejak dua minggu lalu.

“Kita berjaya mengawal kadar jangkitan COVID-19 ketika PRN dan jika dibandingkan dengan PRN Sabah dalam masa dua minggu sahaja kadar kes (kenaikan) adalah sebanyak 70 peratus tetapi kita hanyalah 4.6 peratus.

“Maka, ini menunjukkan satu penanda yang positif bagi segala usaha yang telah kerajaan lakukan.

“Dan kita doa agar wabak ini dapat kita atasi dengan sebaik mungkin.Maka saya percaya jika PRU 15 yang mendatang, kita tak perlu takutkan rakyat, kalau kita pastikan SOP ini dipatuhi, Insya-Allah kita berjaya untuk mengekang wabak COVID-19,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini, terdapat 12 kluster aktif direkodkan termasuk tiga kluster baharu yang direkodkan selepas PRN iaitu Kluster Pulau Gadong, Kluster Industri Batu 16 1/2 Air Tawar dan Kluster Kilometer 12, Paya Rumput.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1196
Kongsi :
Previous post PRN Sarawak: Dudong kawasan paling ‘panas’ dengan pertembungan lapan penjuru
Next post Berakhirnya era Peng Soon-Liu Ying
Ubah saiz-+=