PRN Sarawak: Dudong kawasan paling ‘panas’ dengan pertembungan lapan penjuru

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUCHING, 6 Dis – Pertembungan lapan penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menjadikan ia medan pertarungan paling ‘panas’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Selepas proses penamaan hari ini, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, yang pertama kali bertanding di peringkat DUN, bakal berdepan lawan daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wong Hie Ping; Jane Lau Sung Yee mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), Julius Enchana Jasper Ancho mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB); Paul Ling Fong (DAP) dan Josephine Lau Kiew Peng daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Turut berentap melawan Tiong, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu, ialah dua calon Bebas iaitu Fadhil Mohamad Isa dan Engga Unchat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ghani Salleh dalam sidang media mengumumkan hanya satu DUN menyaksikan pertarungan lapan penjuru.

SPR telah menerima dan mengesahkan sebanyak 349 kertas penamaan calon yang layak bertanding pada PRN kali ini.

Pertandingan empat penjuru merupakan saingan paling banyak pada edisi PRN kali ini melibatkan 33 DUN manakala saingan lima penjuru berlaku di 24 DUN, tiga penjuru (13 DUN), enam penjuru (7) dan pertembungan satu lawan satu di empat DUN.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Pengerusi GPS, ditentang tiga muka baharu dalam pertandingan empat penjuru di Gedong manakala Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian terlibat dalam saingan empat penjuru di Batu Kawah.

Turut berentap dalam pertandingan empat penjuru di Padungan ialah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen manakala Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Presiden PBK Voon Lee Shan (Batu Lintang) berdepan pertarungan lima penjuru.

Bagi kawasan yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu, tiga daripada empat DUN membabitkan calon GPS dan PSB iaitu Pantai Damai, Layar dan Tamin manakala di Dalat merupakan pertarungan antara GPS dan PBK.

Tempoh berkempen bagi PRN Sarawak bermula hari ini hingga 11.59 malam 17 Dis manakala pengundian awal akan berlangsung pada 14 Dis dan hari pengundian biasa pada 18 Dis. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

755
Kongsi :
Previous post Pasar raya di MITC tutup sehingga 12 Dis, 27 kes positif COVID-19 dikesan
Next post Hanya satu kluster babitkan PRN Melaka
Ubah saiz-+=