Harap urusan vaksin dipercepatkan – Peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 27 Jun – Peniaga kecil di negeri ini lega diberikan keutamaan bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang akan dilancarkan pada 6 Julai ini.

Peniaga Noor Asmah Mohd Said, 57, berkata, inisiatif itu sekali gus memberi kelegaan kepada peniaga sepertinya yang sentiasa berhadapan dengan ramai orang.

“Alhamdulilah kerajaan nak berikan vaksin kepada peniaga kecil sebab keadaan kami sangat berisiko apabila jumpa ramai orang (pelanggan).

“Saya dah daftar MySejahtera dari Februari lagi… dengan usaha kerajaan ini diharap urusan mendapatkan vaksin lebih cepat.

“Saya tak rasa takut untuk ambil vaksin, ditambah pula suami dah dapat suntikan vaksin baru-baru ini, jadi kena sentiasa fikir positif,” katanya ketika ditemui MHI di Medan Selera Perindustrian Ayer Keroh, hari ini.

ABDAN.

Bagi Abdan Buang, 50, dia bersyukur dan berharap program itu membawa manfaat kepada peniaga kecil di negeri ini.

“Rasa takut nak ambil vaksin tu biasalah, tapi jika diberi peluang mestilah saya nak ambil vaksin.

“Lagipun berniaga di tepi jalan ni macam-macam pelanggan saya jumpa risau juga dengan faktor usia sekarang,” katanya yang berniaga buah-buahan potong.

Seorang lagi peniaga, Amar Faiz Muhd Din, 20, berkata walaupun usianya masih muda sebagai peniaga kecil dia juga perlu menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

“Risau juga dengan kes pandemik COVID-19 yang semakin meningkat ni, saya pun jumpa ramai pelanggan setiap hari.

“Saya daftar MySejahtera Mei lalu, kalau dapat cepat lagi bagus sebab mak dan ayah pun semua dah dapat vaksin,” katanya.

Semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dilapor berkata, hampir 500,000 peniaga kecil berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akan menerima vaksin di bawah program MOVAK.

Beliau berkata, peniaga kecil berkenaan akan didekati unit mobiliti supaya dapat divaksin untuk membolehkan mereka meneruskan perniagaan bagi menjana pendapatan.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Selain logistik yang sudah disediakan, MOVAK dilengkap sistem sokongannya mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi program pemvaksinan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

331
Kongsi :
Previous post Ibu dicadang suntik vaksin selepas bersalin di hospital
Next post 10 premis, pasar raya dikompaun RM92,000 langgar SOP PKP 3.0
Ubah saiz-+=