Harga ayam mula tunjuk trend penurunan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PUTRAJAYA, 19 Julai – Pemantauan harga ayam semasa oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati, harga runcit ayam standard telah mula menunjukkan trend penurunan di pasar besar dan pasar raya, bermula 1 hingga 17 Julai.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, trend berkenaan adalah selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup, yang menunjukkan penurunan harga pada minggu kedua Julai antara RM4.50/kg hingga RM5.40/kg, daripada minggu pertama iaitu RM5.20/kg hingga RM6.10/kg.

“Harga ayam standard pada Julai 2020 adalah antara RM8.00/kg hingga RM8.50/kg dan telah menurun pada minggu kedua dengan harga RM7.60/kg hingga RM7.90/kg,” katanya lagi.

Iskandar Halim berkata, KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran, supaya pengguna dapat memperoleh ayam dengan harga yang berpatutan.

Tambah beliau, KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan kenaikan harga ayam, ekoran aduan yang diterima daripada orang ramai pada 15 Jun lepas.

Jelas Iskandar Halim, pemantauan dilaksanakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) 2011, untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan harga ayam, serta mengesan sekiranya wujud aktiviti anti-pencatutan.

Katanya, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga-peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut dalam pemeriksaan yang dilaksanakan dalam tempoh 17 Jun hingga 30 Jun.

“Semua kertas siasatan tersebut sedang dalam siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian, sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP,” tambahnya lagi

Jelas Iskandar Halim, lapan kes ini melibatkan empat peruncit di pasar awam Melaka dan empat pemborong ayam, iaitu satu di Melaka dan tiga lagi di Kuala Lumpur. Semua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1)  AKHAP.- BERNAMA

Views:

232
Kongsi :
Previous post SMEs urged to continue digital transformation journey
Next post Mayat ditemui selepas lebih 22 jam hilang
Ubah saiz-+=