‘HARI BAHAGIA TIBA LEBIH AWAL’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 September – “Lega akhirnya hasrat kami untuk menjadi pasangan suami isteri dan mendirikan rumah tangga terlaksana malah lebih cepat dari perancangan awal yang dibuat,” itu kata Muhammad Zaki Mohd Hairi.

Muhammad Zaki, 30, dan isterinya Nur Allisa Nilon, 28, antara lima pasangan yang diraikan pada Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka Siri 2 Bagi Tahun 2024M/1446H, semalam.

Menurut Muhammad Zaki, dia dan isteri sepatutnya melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini namun majlis itu dipercepatkan apabila Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Balai Islam menawarkan mereka untuk menyertai program yang dianjurkan.

Katanya, menerusi program yang dianjurkan segala persiapan untuk perkahwinan diuruskan MAIM dan dia hanya perlu menyediakan wang untuk mas kahwin sahaja.

“Terima kasih tidak terhingga kepada MAIM kerana membantu merealisasikan hasrat kami malah membantu meringankan perbelanjaan.

“Kalau ikutkan kami perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk keseluruhan majlis kahwin tetapi dengan adanya program ini perbelanjaan itu dapat dijimatkan.

“Malah kami dapat gunakan untuk keperluan lain seperti kelengkapan rumah dan menariknya menerusi majlis inj juga kami dapat mengenali pasangan yang lain,” katanya.

Berkongsi detik perkenalannya dengan isteri yang berketurunan bidayuh dari Sarawak itu, Muhammad Zaki berkata, mereka mula berkenalan pada 2015 sebagai kawan, namun hubungan itu tidak lama dan kedua-dua mereka terputus hubungan selama lapan tahun.

“Lapan tahun kami terputus hubungan dan selepas itu tergerak untuk kembali mencari dia di media sosial dan akhirnya kami kembali berhubung.

“Alhamdulillah, kami dapat disatukan sebagai suami isteri dan menjadi tanggungjawab besar untuk saya membimbing dia menjadi seorang isteri solehah memandangkan dia adalah saudara baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

17628
Kongsi :
Previous post MACAM-MACAM ADA DI EKSPO TVET@KKDW MITC, 27-29 SEPTEMBER INI
Next post JOM ‘WALKATHON’ BERSAMA ANAK AUTISME
Ubah saiz-+=