Hari-hari boleh pergi kenduri kahwin

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PAYA RUMPUT 17 Feb – “Alhamdulillah biarpun ada pelanggan yang pada awalnya terkejut dan bingung dengan kelainan konsep kami, kini ia semakin diterima ramai.

“Dalam sehari kira-kira 200 pelanggan singgah tapi pada hujung minggu boleh mencapai 500 orang,” kata Pengurus Kebuloq Corner, Huzaimi Husain yang menguruskan Warung Nasi Kenduri Kahwin Melaka berkonsepkan majlis perkahwinan.

Warung terletak di tepi jalan di Paya Rumput, di sini, menarik perhatian ramai apabila khemahnya dihias renda kain biru dan merah, bunga manggar dan langkah tetamu diiringi lagu sering dimainkan pada majlis perkahwinan masyarakat Melayu.

Lebih menarik, warung itu juga dilengkapi dengan hiasan pelamin diletakkan bersama bunga telur sekali gus menaikkan lagi suasana seperti berada di majlis perkahwinan.

Pelbagai lauk pauk seperti gulai kawah, kari kambing masala dan ayam masak merah disediakan manakala minuman diberikan secara percuma namun boleh ditambah beberapa kali dengan bayaran RM1.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, warung yang terletak di bahu jalan lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) semakin didatangi pelanggan apabila bermula waktu puncak.

Huzaimi berkata, idea itu diketengahkan bagi mencetus kelainan di negeri ini malah memberi peluang kepada pelanggan yang merindui suasana itu selepas dihimpit kekangan akibat penularan pandemik COVID-19.

Katanya, warung itu turut menarik perhatian pengantin baru untuk menganjurkan majlis persandingan dan resepsi sekali gus menjimatkan kos.

“Selesai majlis akad nikah di masjid singgah ke warung saya untuk bersanding. Setakat ini kami ada menerima tempahan daripada beberapa bakal pengantin dan amat mengalu-alukan kedatangan mereka.

“Ada juga ‘pengantin lama’ singgah ke warung ini bergambar atas pelamin untuk mengimbau kenangan ketika bergelar raja sehari,” katanya.

Dia membuka warung itu sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan perniagaan katering diusahakan yang terjejas teruk akibat COVID-19.

“Ketika itu tempahan merosot hingga 60 peratus, ramai pengantin terpaksa tangguhkan majlis mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerana tidak mahu membuang pekerja saya terpaksa mencari jalan lain termasuk kami bersama-sama membuka gerai menjual makanan di tepi jalan demi meneruskan kehidupan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3078
Kongsi :
Previous post Semua masjid di Terengganu diarah pasang kanopi, beri peluang lebih ramai jemaah
Next post Kes samun Port Dickson: Tiga kakitangan stesen minyak dipanggil beri keterangan
Ubah saiz-+=