Hasrat pindah rumah baharu tidak kesampaian

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

SEREMBAN, 13 Dis – Hasrat anggota bomba Mohd Firdaus Sulaiman berpindah ke rumah baharu bersama keluarga tidak kesampaian apabila meninggal dunia awal pagi tadi.

Mohd Firdaus, 32, meninggal dunia pada 4.10 pagi di Hospital Segamat, Johor setelah menerima rawatan akibat cedera parah terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Johor pada Sabtu lepas.

Ketika ditemui pemberita, isterinya Nurul Jannah Abdul Hamid Khan, 29, berkata dia dan suaminya merancang berpindah ke rumah baharu mereka di Segamat bersama anak mereka berusia tiga tahun.

Jenazah Mohd Firdaus tiba di Surau Al-Falah, Taman Desa Rhu, Sikamat pada pukul 11.30 pagi tadi untuk disembahyangkan dan selamat dikebumikan 12.30 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan.

Pengebumian jenazah Allahyarham Mohd Firdaus yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat dilakukan penuh istiadat dan dihadiri lebih 100 anggota bomba termasuk Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid serta penduduk kampung yang memberi penghormatan terakhir.

Nurul Jannah berkata sejak akhir-akhir ini, suaminya bersikap pendiam dan menyifatkan Allahyarham seorang suami yang penyayang dan sangat rapat dengan anak tunggalnya itu.

“Saya terima panggilan doktor 3 pagi tadi mengenai suami saya yang kritikal iaitu keadaan oksigen telah jatuh. Doktor menyuruh saya datang ke unit rawatan rapi (ICU) untuk memberi kata-kata terakhir.

“Saya sempat mengajar dia mengucap dan membacakan surah Yasin…kira-kira 15 minit selepas itu, beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya sebak.

Lebih menyedihkan, Nurul Jannah berkata anaknya Aisy Alisha Mohd Firdaus, 3, masih belum mengetahui pemergian bapanya itu.

Nurul Jannah yang juga berkerja sebagai kerani di sebuah sekolah berkata suaminya sempat menyambut hari jadinya ke-29 dengan meriah berbeza daripada sebelum ini.

“Kali terakhir saya hubungi suami sebelum kejadian berlaku, untuk menghantar makanan tetapi beliau berkata tidak tahu sama ada dapat balik ke rumah atau tidak,” katanya.

Turut berduka, ibunya Noorlina Abdullah, 64, yang menyifatkan anak ketiga daripada lima beradik itu sangat bertanggungjawab dan menyayangi adik perempuan bongsu yang merupakan seorang kurang upaya (OKU) berusia 28 tahun.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi Sabtu lepas, Mohd Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di kilang tersebut.

Anggota ERT kilang itu Mohamad Azuraini Mahrani, 40, meninggal dunia pada 9.24 pagi tadi di hospital sama.

Sementara itu, Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis menyifatkan Allahyarham Mohd Firdaus seorang anggota berdedikasi dan komited dengan tugas yang diberikan.

Katanya, JBPM bersetuju menaikkan pangkat Allahyarham daripada gred KB19 kepada KB22 atas jasanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

769
Kongsi :
Previous post Letupan kilang di Segamat: Seorang lagi meninggal dunia
Next post Diskaun saman: Polis Melaka terima kutipan lebih RM2.5 juta
Ubah saiz-+=