Hentikan provokasi – Ka Siong

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER MOLEK 5 Jan. – Masyarakat diminta agar tidak membangkitkan isu perkauman yang dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa di negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia termasuklah memaparkan gambar serta karikatur yang boleh dikaitkan dengan sensitiviti negara seperti yang berlaku akhir-akhir ini.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, semua pihak perlu memahami serta patuh kepada peraturan dan undang-undang negara dengan menolak sebarang bentuk provokasi melampau demi menjaga hubungan rakyat di seluruh negara.

“Apa yang penting sekali, semua orang kena mematuhi dan memahami sensitiviti kaum di Malaysia serta mengikut peraturan.

“Perlu ada komunikasi yang berkesan. Mungkin pada orang lain ia tidak anggap isu itu sensitif (namun) pada orang lain pula kata sebaliknya.

“Dalam masyarakat majmuk, masing-masing termasuk sesama kaum mempunyai pandangan berbeza dan kita perlu elak untuk membangkitkan isu sensitif itu,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Pembangunan Litar Latihan Ujian Memandu, di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tiang Dua di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden sebuah restoran di Georgetown, Pulau Pinang yang didapati menghias dua premisnya dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.

Selain Pulau Pinang, sebuah premis perniagaan di Melaka iaitu di Jalan Jonker turut diserbu kerana didapati menggantung 18 gambar mirip pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong pada Ahad lalu.

Turut diambil tindakan, sebuah restoran di Johor Bahru yang turut didakwa memaparkan unsur komunisme.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Lesen ‘My Heli Club’ digantung serta-merta
Next post Banjir di pantai timur, Johor diramal tidak seburuk 2006,2014 – MetMalaysia
Ubah saiz-+=