HFMD: 20 premis di Melaka ditutup, jangka terus meningkat
KOTA LAKSAMANA 20 Mei – Sebanyak 20 premis telah di negeri ini diarahkan ditutup setakat 18 Mei lalu susulan penularan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, ia membabitkan enam taska, lapan tadika, dua pusat jagaan dan empat pusat persendirian.
Beliau berkata, jumlah itu dijangkakan akan meningkat sekiranya tiada langkah pencegahan dalam kalangan ibu bapa dan pusat jagaan kanak-kanak dalam mencegah penularan HFMD.
“Susah kita nak ramalkan tapi jika melihat peratusan graf pada 2019 ia dijangkakan meningkat sehingga akhir Jun dan jika kita dapat kerjasama semua pihak insyAllah hujung bulan ini kes dapat diturunkan.
“Setakat ini, sebanyak 255 kes telah direkodkan seluruh Melaka dengan kenaikan sebanyak 346 kes berbanding 55 kes pada minggu sebelumnya di mana setakat 18 Mei lalu sebanyak 148 kes didaftarkan di Daerah Melaka Tengah, 83 di Alor Gajah dan 24 di Jasin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakai (PPKHT) 2004 diadakan di Jalan Kota Laksamana, di sini malam tadi.
Tegasnya, tindakan kompaun dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau tindakan mahkamah akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengabaikan perkara terbabit.
“Kita galakkan supaya premis terlibat untuk terus melaporkan supaya kita boleh siasat misalnya jika ada murid tadika yang dijangkiti kita akan siasat keluarga untuk menjejaki anak mereka yang lain memasuki sekolah yang mana dan sebagainya.
“Mana-mana yang ingkar kita akan kompaun mereka dibawah Akta 342 atau kita kenakan tindakan untuk mahkamah putuskan hukuman setimpal buat mereka yang mengabaikan perkara ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.