‘Hidupkan Ramadan dengan amalan terbaik’ – Ustaz Kazim Elias

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

LENDU 2 April – Penceramah terkenal Datuk Mohammad Kazim Elias menyeru umat Islam menjadikan puasa Ramadan tahun ini yang bermula esok sebagai yang terbaik dengan mempraktikkan beberapa aspek yang mampu menambah pahala.

Beliau menjelaskan, umat Islam harus menyifatkan Ramadan kali ini sebagai yang terakhir dan untuk tujuan itu, mereka harus menghidupkannya dengan amalan yang diberikan ganjaran besar.

Beliau berkata, antara aspek berkenaan ialah bersahur secara beramai-ramai di masjid dengan anak kariah membiayai kos makanan dan minuman secara bergilir-gilir.

“Ahli jawatankuasa masjid buat pengumuman ke seluruh pelosok taman dan kampung minta anak kariah supaya datang beramai-ramai bersahur di masjid.

“Selepas bersahur kita solat fardu Subuh berjemaah, selepas solat ada tazkirah Subuh dan selepas itu kita mengaji al-Quran,” katanya ketika berceramah ‘Kemuliaan Ramadan’ di
Masjid Al Sultan Abdullah, di sini, malam tadi.

Program bermula selepas solat Maghrib itu dihadiri kira-kira 1,200 jemaah dari sekitar pekan Masjid Tanah dan beberapa kampung sekitarnya.

Beliau berkata, amalan bersahur terbaik ialah tempoh membaca 50 ayat al-Quran sebelum azan Subuh, iaitu kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu solat itu.

“Sahur bukan jam 2 pagi…tak dapat pahala sahur. Sekadar tempoh membaca 50 ayat al-Quran sebelum masuk waktu solat Subuh, itulah sahur yang diberikan ganjaran pahala,” katanya.

Beliau menjelaskan, amalan iftar atau berbuka puasa mengikut sunnah Rasulullah SAW ialah dengan meneguk air sebelum memakan tiga biji kurma kerana buah berkenaan bukan setakat kegemaran Nabi Muhammad SAW, malah mengandungi potasium tinggi yang mampu mengembalikan tenaga dalam badan.

“Berdoalah sebelum azan Maghrib dan segera berbuka sejurus selepas azan berkumandang kerana bersegera berbuka puasa itu diberikan ganjaran yang Allah kata, Dia sahaja yang tahu berapa banyak ganjaran yang akan Dia berikan kepada insan yang berpuasa Ramadan,” katanya.

Mohammad Kazim berkata, dengan mengamalkan mandi selepas berbuka, tubuh menjadi segar dan mampu menunaikan solat sunat Tarawih 20 rakaat dan selepas solat berkenaan, umat Islam tidak harus makan lagi kerana ia akan menyebabkan mereka sukar untuk bangun malam berqiamullail.

Bagi wanita memasak pada waktu malam untuk hidangan sahur, beliau mengingatkan mereka supaya tidak memasukkan garam ketika memasak, sebaliknya memasukkannya ketika memanaskan masakan itu sebelum bersahur.

Selain itu, Mohammad Kazim juga meminta umat Islam meningkatkan pembacaan al-Quran, bersedekah dan menyambung silaturahim sepanjang Ramadan serta meneruskannya selepas Ramadan berakhir kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1843
Kongsi :
Previous post 39 Ahli Parlimen lompat parti sejak 2018 – Wan Junaidi
Next post WoW sasar penyertaan 5,000 wanita muda
Ubah saiz-+=