Hilangnya individu di sebalik pena

AYER LIMAU 14 Sept. – “Dapat juga arwah menikmati sambal telur yang dipesannya tatkala dia singgah sebentar di rumah semata untuk menikmati hidangan itu,” kata Nur Haliza Omar, 51 yang merupakan adik kandung kepada bekas wartawan veteran BERNAMA Biro Melaka, Nasarudin Omar, 60, yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Menurut Haliza, abang kandungnya yang menetap di Taman Merak, Bukit Katil adalah individu yang paling rapat dengannya sejak kecil lagi menjadikan berita tersebut adalah perkara yang tidak diduganya.

Jelasnya, menu tersebut merupakan hidangan kegemarannya setiap kali singgah di rumahnya di Taman Wira Indah, Lubok China.

“Beliau seorang abang sulung yang tegas sering memberi nasihat kepada kami dan kali terakhir bersua dengannya adalah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu malah beliau sempat mengajak bergambar bersama ahli keluarga ketika itu biarpun beliau seorang yang tidak suka bergambar.

NASARUDIN (tiga kanan) sempat bergambar bersama ahli keluarganya sebelum meninggal dunia pada Jumaat.

“Keadaan ini agak menjanggalkan bagi saya kerana beliau pergi begitu saja meninggalkan kami dan kali terakhir berhubung dengannya pada Isnin lalu melalui mesej di dalam ‘Group Whatsapp’.

“Malah, pernah berjanji untuk bertemu saya pada 5 atau 6 September lalu tapi keadaan itu tidak menjadi, saya sangat rindu padanya.

“Namun, pada pagi Khamis lalu saya menerima panggilan dari pihak hospital kerana sayalah waris terdekatnya kerana beliau hidup seorang diri dan tidak mempunyai anak, isteri pula telah pun meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya, pagi tadi.

Menurut Haliza, dia terus bergegas ke Hospital Putra bagi melawat abangnya yang kritikal disebabkan mengalami pendarahan beku di paru-parunya dan memerlukan sokongan daripada waris terdekat.

“Saya terus menghubungi anak buah dari Puchong untuk mengambil saya ke hospital tersebut, Alhamdulillah saya sempat berborak dengannya biarpun ketika itu dalam keadaan kritikal.

NUR Haliza Omar

“Sampai juga orang Lubok China, kau naik bas tadi bersesak tak? Itulah kata terakhir yang saya ingat sehingga hari ini, amat terkejut dengan berita ini biarpun dalam getir ketika itu dia masih lagi memikirkan keadaan saya.

“Arwah telah lama berkhidmat dalam industri kewartawanan negara malah dia berkhidmat di Johor sekitar tahun 1980-an yang ketika itu saya masih bersekolah lagi.

“Seorang cucu kesayangan keluarga yang dibesarkan nenek di Kampung Penajis, Negeri Sembilan sejak kecil telah banyak memberi nasihat dan pedoman kepada saya bagi meneruskan kehidupan ini, dia seorang penyayang dan mempunyai ramai rakan rapat yang bekerja dalam industri ini,” katanya dengan nada yang penuh sebak.

Nasarudin merupakan bekas wartawan veteran BERNAMA Biro Melaka telah berkhidmat lebih 20 tahun di negeri bersejarah ini menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Sulaiman, Rembau, sekali gus telah meninggalkan jasa disebalik industri kewartawanan negara.

Views:

9

Share and Enjoy !

Shares
Previous post PM santuni peniaga Pahlawan Walk
Next post PM lawat operasi Kilang Infineon