Hotel, chalet di Melaka ‘laris’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KESIDANG 27 Dis. – Hampir kesemua hotel, chalet dan inap desa di negeri ini laris bak ‘pisang goreng panas’ pada penghujung tahun ini, susulan pintu sempadan antara negeri mula dibuka sejak dua minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis menyifatkan ia satu perkembangan positif dalam usaha mengecapi sasaran 5.6 juta pengunjung, tahun ini.

“Nampak gaya memang ‘fully booked’. Bayangkan sebuah hotel yang kurang sambutan di Ayer Keroh pun sudah tiada bilik lagi untuk ditempah, jadi sudah tentulah hotel di kawasan tumpuan pelancong juga lebih daripada itu.

“Alhamdulillah, ini satu perkembangan yang baik dan saya harap ia akan berterusan supaya bukan sahaja sasaran 5.6 juta kita tercapai tetapi juga dapat memberi limpahan ekonomi buat rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kejohanan Tourism Melaka Futsal Challenge 2020 di Kompleks Sukan Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Melaka Asrul Khan Sher Jang Khan.

Mengulas mengenai penganjuran berkenaan, Muhammad Jailani percaya kejohanan sukan seperti itu turut berupaya menarik kehadiran pelancong terutama dari sudut sub sektor pelancongan belia dan sukan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar penganjuran sukan dan program melibatkan belia berskala besar akan terus diperkasakan pada 2021, namun haruslah mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang masih berkuat kuasa sepanjang musim pandemik COVID-19.

Views:

809
Kongsi :
Previous post Kapal terbang laut di Melaka tahun depan
Next post Tumpu program ilmiah bantu belia Melaka
Ubah saiz-+=