HSN peringkat Negeri Melaka ditangguhkan

Masa Membaca:59 Saat

PAYA RUMPUT 4 Okt. – Program Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Negeri Melaka yang sepatutnya berlangsung pada bulan ini ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memaklumkan penangguhan itu selaras dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengambil ketetapan untuk menangguhkan sambutan HSN peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 10 Oktober.

Jelasnya, keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira situasi semasa peningkatan jumlah kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

“Ke semua agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah, mahupun persatuan-persatuan, NGO-NGO dan komuniti sukan di Negeri Melaka yang telah bercadang untuk menganjurkan sambutan bersama bagi merancakkan lagi sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka juga disarankan untuk mengambil langkah yang sama (menangguhkannya).

“Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko penyebaran pandemik tersebut demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar semua penggiat sukan di Melaka kekal aktif, namun mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan yang sedang berkuatkuasa.

Views:

548
Kongsi :
Previous post MU sah kekal di Liga Super musim depan
Next post COVID-19: Jumlah pelancong ke Melaka terkesan
Ubah saiz-+=