Ibadah korban di Melaka diumum dua minggu sebelum Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MACHAP 19 Jun – Penetapan berhubung pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di Melaka dijangka akan diumumkan dua minggu sebelum sambutan perayaan itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan diadakan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini akan kembali kepada waktu sebelum pandemik COVID-19 melanda apabila beberapa prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Menurut beliau, untuk tempoh ini tiada lagi ketetapan baharu dikeluarkan dan garis panduan itu masih sama seperti pelaksanaan ibadah korban tahun lalu.

“Nanti saya akan bincangkan bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), MUFTI dan pihak pengurusan masjid. Bila dihujung pandemik dulu kita benarkan satu hari hanya beberapa ekor sahaja dan disambung hingga raya ketiga tetapi kali ini bila sudah sampai ke fasa ini, penjarakan sosial sudah tiada dan solat pun sudah boleh rapat saya rasa tidak ada pemasalahan.

“Kita boleh laksanakan seperti masa tahun-tahun terdahulu tetapi perlu patuhi SOP ditetapkan nanti. Dua minggu sebelum raya kita akan maklumkan SOP itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Projek Pertanian Bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Melaka iaitu di Projek Nangka, di Bukit Senggeh dan Projek Durian di Air Pasir.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Ngwe Hee Sem; ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh dan juga Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat.

Sementara itu, menurut Sulaiman, beliau dimaklumkan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha ini jumlah permintaan lembu meningkat malah ada diantara penternak yang tidak dapat menampung permintaan haiwan peliharaan itu.

“Pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu jumlah permintaan pun meningkat juga dan ketika lawatan ke pasar tadi apabila ditanya penjual daging memaklumkan mereka sudah menerima tempahan.

“Malah ada yang cakap mereka tidak lagi dapat menampung bekalan kerana permintaan yang banyak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1261
Kongsi :
Previous post KPT sasar 55 peratus lepasan SPM lanjut pengajian dalam TVET
Next post Jenazah Adibah Noor selamat dikebumi
Ubah saiz-+=