Ibu, anak maut kereta terbabas di Kuala Pilah

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA PILAH, 30 Okt –  Dua beranak maut manakala tiga anggota keluarga lain cedera ringan selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas di Jalan Terachi-Tanjung Ipoh, di sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti Pegawai Bomba Kanan II Norhirwan Zainal berkata mangsa, Nuratika Arsad, 27, dan anaknya yang sedang dikenal pasti identiti, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.21 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dari BBP Seri Menanti dan Kuala Pilah digegaskan ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera ringan diselamatkan oleh pihak bomba sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan.

“Kes kemalangan berkenaan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata wanita berkenaan dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dan berasal dari Sabah itu dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Pilah sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk bedah siasat manakala pemandu kereta yang patah kaki kiri serta tiga penumpang yang cedera ringan turut dirawat di hospital sama,” katanya dan menambah kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2420
Kongsi :
Previous post 17 mangsa banjir masih di PPS Kg Belimbing
Next post Naib Presiden Bersatu umum keluar parti
Ubah saiz-+=