Naib Presiden Bersatu umum keluar parti

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MELAKA, 30 Okt – Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini mengumumkan beliau meletakkan semua jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata tindakan itu diambil selepas beliau tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

“Beberapa hari lepas, saya telah dihubungi Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Timbalan Presiden Bersatu (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan nama saya tidak akan dicalonkan di Parlimen Tangga Batu sebaliknya saya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Parlimen Tangga Batu selama lebih enam tahun ini tidak diberi pertimbangan adil dan sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata menjadi amalan dan tradisi mana-mana parti politik di negara ini untuk memberi keutamaan kepada pemegang jawatan tertinggi parti seperti naib presiden parti untuk dipertimbangkan sebagai calon di kawasan dipimpinnya.

Mohd Rafiq yang merupakan antara pemimpin awal Bersatu berkata surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Bersatu, Pengerusi PN Parlimen Tangga Batu, Ketua Bersatu bahagian Tangga Batu dan Ketua Bersatu cawangan Cheng telah dihantar kepada Muhyiddin beberapa hari lepas.

Ditanya mengenai hala tujunya selepas ini, Mohd Rafiq berkata beliau mahu berehat sebentar daripada dunia politik dan fokus kepada keluarganya.

Beliau juga menolak untuk bertanding di atas mana-mana tiket parti politik lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini termasuk sebagai calon bebas.

“Bagaimanapun saya akan terus berkhidmat kepada rakyat Parlimen Tangga Batu walaupun tanpa sebarang platform politik dan mungkin bergerak menggunakan badan bukan kerajaan (NGO) selepas ini,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4444
Kongsi :
Previous post Ibu, anak maut kereta terbabas di Kuala Pilah
Next post Polis akan kemuka hasil siasatan Tommy Thomas yang dikemas kini kepada Pejabat Peguam Negara
Ubah saiz-+=