Polis akan kemuka hasil siasatan Tommy Thomas yang dikemas kini kepada Pejabat Peguam Negara

MUAR, 30 Okt – Polis akan mengemukakan hasil siasatan yang telah dikemas kini membabitkan Tan Sri Tommy Thomas kepada Pejabat Peguam Negara selepas kemas kini selesai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata hasil siasatan tersebut adalah melibatkan empat kertas siasatan berhubung buku ‘My Story: Justice in Wilderness’ yang ditulis bekas peguam negara itu serta satu kertas siasatan berhubung kenyataan Thomas pada satu forum pada 17 Sept lepas.

“Saya diberitahu bahawa rakaman percakapan Tan Sri Tommy Thomas telah pun kita laksanakan juga dengan Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan ada beberapa perkara yang perlu pihak polis laksanakan ekoran arahan…yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara untuk kita kemas kini perkara berkaitan siasatan yang kita dibuat.

“Jadi mungkin ada sedikit masa yang kita perlukan dan selepas ini, kita akan kemukakan balik semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk mereka membuat keputusan dan meneliti kertas siasatan tersebut,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Batalion 6 PGA, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata percakapan Thomas direkodkan di Bukit Aman pada 27 Okt lepas manakala percakapan Jeyakumar dirakam pada 22 Okt.

Acryl Sani berkata percakapan kedua-duanya akan diambil kira serta disekalikan dengan hasil siasatan buku, yang akan disekalikan sekali untuk dikemas kini.

“Kita (Polis) buat semua. Keterangan kita ambil, segala perkara yang berkaitan dengan apa yang ditohmahkan itu kita akan ambil kira dan kita akan serahkan kepada pihak Peguam Negara,” kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap bekas peguam negara itu.

Pada 28 Okt lepas,  Pejabat Peguam Negara dilaporkan memulangkan kembali kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia Selasa lepas untuk dilengkapkan.

Sementara itu, Thomas dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia itu juga dilaporkan dipanggil PDRM untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan ke atas Thomas mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam sebuah forum bulan lepas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Previous post Naib Presiden Bersatu umum keluar parti
Next post PRU15: PDRM kenal pasti kurang daripada 100 kawasan hotspot