Idris terima ‘lamaran’ beberapa parti hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 5 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron telah menerima tawaran daripada beberapa parti untuk dicalonkan sekiranya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau mendedahkan telah menerima beberapa ‘lamaran’ daripada pelbagai parti untuk hari ini dan diberi peluang untuk bertanding di mana-mana kawasan di Melaka.

“Beberapa parti mewarkan saya hari ini untuk bertanding tapi saya kena fikir satu persatu untuk mempertimbangkannya kerana mereka yakin dan memerlukan seseorang yang boleh menang.

“Apabila menerima maklumat dipecat dari parti sendiri saya bersedia dan serahkan kepada rakyat untuk memilih dalam PRN nanti. Tapi nanti jangan mereka (kerajaan negeri) cadangkan darurat pula, itu namanya tidak bijak.

“Dia dah umum bubar jadi kita tengok apa yang berlaku selepas ini, kena Pilihan Rayalah,” katanya ketika dihubung Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau menempelak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan berikutan perlu berdepan pelbagai situasi dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Kalau dah tahu pandemik merebak jangan bubar, kenapa nak heret rakyat?

“Kita tarik sokongan ini hanya di peringkat kepimpinan dan ia boleh diselesaikan di peringkat ini.

“Negeri Melaka bukannya bahan ‘mainan’. Kita ada undang undang dan peraturan tersendiri dan rakyat tidak bodoh, biar mereka menentukannya,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pembubaran tersebut diumumkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media khas di Seri Negeri hari ini rentetan tindakan Idris dan tiga ADUN kerajaan negeri  mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali semalam.

Selain Idris, tiga lagi adalah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

945
Kongsi :
Previous post Kemelut politik ‘rencatkan’ pelancongan Melaka
Next post Pelancongan Melaka diteruskan – Saari
Ubah saiz-+=