Kemelut politik ‘rencatkan’ pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 5 Okt. – Kemelut politik yang melanda Melaka dijangka merencatkan aktiviti pelancongan yang disifatkan baharu sahaja kembali ‘bernafas’.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Hotel Malaysia Cawangan Melaka (MyBHA), Sazali Sabri berkata, pergolakan politik di negeri ini menjejaskan sektor pelancongan negeri.

Katanya, Melaka baru sahaja beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) awal bulan ini dan kini berlaku kemelut politik hingga menimbulkan persoalan kepada pemain industri pelancongan berkaitan perancangan yang telah dilakukan, adakah akan diteruskan atau terpaksa dihentikan.

“Sedikit sebanyak, apabila kemelut politik berlaku di Melaka, kami pemain industri pelancongan terkesan, bila mana pelbagai perancangan dan aktiviti yang akan dilakukan mungkin terpaksa ditunda atau dihentikan.

“Baru sahaja 1 Oktober lalu, Melaka beralih ke Fasa 3 PPN dan difahamkan tidak lama lagi akan kembali membuka sempadan untuk menarik pelancong luar kembali ke Melaka.

“Jadi, sebagai pemain industri, kami juga inginkan satu kepastian supaya pelancong turut yakin untuk datang ke Melaka melancong seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Terdahulu, DUN Melaka telah dibubarkan menerusi Sidang akhbar khas mengenai keputusan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kini, Kerajaan Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama, Sulaiman Md Ali menjadi ‘caretaker’ sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1259
Kongsi :
Previous post Parti Pejuang Melaka sudah bersedia
Next post Idris terima ‘lamaran’ beberapa parti hari ini
Ubah saiz-+=