Parti Pejuang Melaka sudah bersedia

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 5 Okt. – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata parti itu sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Ketua Pejuang Melaka, Dzulkarnain Saiful Nathan ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) berkata, pihaknya sudah bersedia namun apa jua keputusan parti itu bergantung kepada pucuk pimpinan parti di bahagian pusat.

“Ekoran kemelut politik yang melanda Melaka ini dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pun telah dibubarkan petang tadi, jadi sekiranya berlaku PRN, kami di Parti Pejuang Melaka sudah bersedia untuk meletakkan calon yang akan bertanding.

“Namun semua keputusan tertakluk kepada keputusan pusat dan pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya ringkas.

Mengulas lanjut, Dzulkarnain turut menyifatkan kemelut politik yang berlaku akan merencatkan usaha pemulihan COVID-19 di Melaka selain tidak mahu negeri ini menjadi penyumbang kepada kenaikan kes seperti yang berlaku pada PRN Sabah tahun lalu.

“Pergolakan politik yang berlaku ini akan menjejaskan usaha pemulihan COVID-19 di negeri Melaka, selain kita tidak mahu Melaka menjadi ‘Sabah yang kedua’,” komennya ringkas.

Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang, Datuk Seri Ruslin Hasan berpandangan keputusan majoriti parti yang mana dipilih menerusi pilihan raya akan datang adalah yang terbaik.

Katanya, kepentingan PRN adalah bagi menentukan siapa yang menjadi majoriti jelas yang akan dipilih.

“Bila DUN dan dibubarkan, maka PRN merupakan jalan yang dipilih bagi menentukan majoriti jelas pihak mana yang akan mentadbir Melaka kelak.

“Sekaligus, PRN ini akan menjadi platform pertama parti Pejuang bertanding pilihan raya selepas disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada Julai lalu,”

Terdahulu, DUN Melaka telah dibubarkan menerusi Sidang akhbar khas mengenai keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1041
Kongsi :
Previous post “Kita tengok apa yang berlaku” – Idris
Next post Kemelut politik ‘rencatkan’ pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=