Ikan terdampar di Pantai Sungai Tuang mungkin dibuang nelayan
AYER KEROH 28 Mac- Ribuan bangkai ikan tamban pias terdampar sepanjang Pantai Sungai Tuang hingga ke Telok Gong disyaki dibuang oleh nelayan berikutan tiada nilai komersial.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ujian terhadap sampel ikan dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Batu Maung, Pulau Pinang tidak menemui sebarang unsur pencemaran.
Beliau berkata, pemantauan di sepanjang 1.3 kilometer pantai berkenaan juga tidak menemui sebarang kesan tumpahan minyak malah kualiti air juga disahkan normal.
“Ikan ini tiada nilai komersial, hanyir mungkin dibuang oleh nelayan kerana tidak boleh dijual. Kemungkinan dapat bermacam ikan selepas itu dipilih dan dibuang.
“Malam tadi wakil Biosekuriti Perikanan Melaka hadir dan mengambil sampel untuk tujuan persampelan.
“Hasil pemerhatian oleh FRI dan ulasan diberikan berdasarkan saiz ikan yang sekata selain tiada spesis lain ditemui, tiada kemungkinan pencemaran berlaku,” katanya.
Beliau berkata, demikian pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat, di Seri Negeri, hari ini.
Menurutnya, kejadian menyebabkan pencemaran bau dan fizikal, susulan itu kerja pembersihan sudah dijalankan kerana bimbang akan menjejaskan kedatangan pengunjung ke lokasi peranginan itu.
Media sebelum ini melaporkan, ribuan bangkai ikan pias dikesan terdampar di sepanjang Pantai Sungai Tuang hingga Telok Gong, di sini, semalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.