Sorting by

×

Sultan Mizan dukacita dengan nasib rakyat terkesan akibat banjir

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA TERENGGANU, 28 Mac – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib rakyat yang terkesan akibat pelbagai bencana alam terutamanya banjir baru-baru ini.

Baginda bertitah bencana itu bagaimanapun merupakan ujian buat setiap manusia sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap setiap hambanya.

“Hampir keseluruhan harta benda mereka rosak akibat banjir yang menimpa dan lebih memilukan ada mangsa banjir kehilangan orang tersayang. Marilah kita doakan agar mereka yang terkesan dikuatkan semangat dan tabah untuk menghadapi setiap dugaan yang mendatang,” titah baginda dalam perutusan sempena ketibaan Ramadan, di sini hari ini.

Sementara itu Tuanku Sultan mengingatkan rakyat agar tidak mensia-siakan Ramadan dengan perkara yang melalaikan dan menyeru rakyat supaya melipatgandakan amalan dengan rasa penuh pengharapan bagi mendapatkan keredaan Allah.

“Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa dan unggul kerana Allah mencurahkan pahala, memberi kerahmatan dan keampunan sepanjang Ramadan tanpa henti berbanding bulan-bulan lain.

“Masjid dan surau juga juga sudah dibenarkan untuk solat secara berjemaah… oleh itu marilah kita ambil peluang untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan pelbagai aktiviti ibadah,” titah baginda yang turut menasihatkan rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam perutusan tersebut baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah mengambil kesempatan mengucapkan Ramadan karim kepada seluruh umat Islam di negeri ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1438
Kongsi :
Previous post Tambah baik kemudahan sukan, riadah
Next post Ikan terdampar di Pantai Sungai Tuang mungkin dibuang nelayan
Ubah saiz-+=