Ikon hotel mesra Muslim

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDA HILIR 20 Ogos – Kaizen Hotel & Suites Melaka di Pulau Melaka, di sini, bakal diangkat menjadi ikon hotel mesra Muslim di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, penubuhan hotel hak milik kerajaan negeri itu juga selaras dengan saranan Kementerian Pelacongan, Seni dan Budaya dalam menjadikan Malaysia sebagai ‘Muslim Friendly Travel Country’.

Menurutnya, selain menyediakan kemudahan seperti surau, hotel berkenaan juga menyediakan inisiatif pengasingan waktu bagi kolam renang ‘indoor’ khusus untuk wanita, selain turut dalam proses untuk mendapatkan sijil halal.

Langkah itu, jelasnya, sejajar dengan hasrat untuk memperkasa kembali industri pelancongan dalam tempoh pasca pandemik COVID-19.

“Ia juga bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035.

“Kejayaan ini wajar dijadikan contoh kepada pengurusan hotel lain kerana ia membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong segala usaha dan komitmen pengusaha produk pelancongan khususnya industri perhotelan.

“Saya yakin usaha ini akan memberi galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik, sekaligus menjana pendapatan industri pelancongan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaizen Hotel & Suites Melaka, malam tadi.

 

IMG-20220820-WA0000
SULAIMAN menyempurnakan simbolik perasmian Kaizen Hotel & Suites Melaka. Foto Mohd Azren Jamaludin

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Fairul Nizam Roslan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Tambah Sulaiman, hotel itu juga difahamkan telah menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan dari Dumai, Bengkalis dan Pekan Baru, Indonesia bagi mempromosikan perkhidmatan hotel tersebut.

“Malah saya turut dimaklumkan hotel ini bakal menerima rombongan pertama dari Pekan Baru pada September depan.

“Malah dalam menarik lebih ramai pelancong khususnya dari Indonesia pihak hotel ini akan bekerjasama dengan Hospital Putra Melaka dalam menyediakan pakej pelancongan kesihatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3295
Kongsi :
Previous post Penipuan kerja di luar negara, 168 rakyat Malaysia terkandas
Next post RM800,000 dana pendidikan anak Risda
Ubah saiz-+=