‘Ingatkan cukup seorang’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 22 Okt – Sudah terhantuk baru tengadah. Itu nasib segelintir orang awam di negeri apabila dikenakan tindakan kompaun RM1,000 akibat mengingkari prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Senario itu berlaku ketika Ops COVID-19 yang dilaksanakan oleh 11 pegawai dan anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bermula pada jam 9 dan berakhir dua jam kemudian di sekitar kawasan kedai makan di Taman Bukit Beruang Utama di sini, malam tadi.

Penuntut sebuah institut pengajian tinggi yang hanya mahu dikenali sebagai Ejad, 22, berkata, dia dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mengimbas kod menerusi aplikasi MySejahtera.

Malah katanya, dia keliru dengan arahan kerajaan mengenai aplikasi itu kerana ada beberapa premis yang dikunjungi sebelum ini memaklumkan tidak perlu mengimbas kod setiap seorang jika datang secara berkumpulan.

“Saya dan tujuh rakan serumah datang untuk menjamu selera di sebuah restoran di sini dan duduk dua meja berasingan.

“Ketika mendaftar seorang daripada setiap meja sahaja yang imbas sebab sebelum ini di Kedah, penjaga premis itu beritahu tidak perlu ‘scan’ beramai-ramai.

“Tak sangka pula ia sebenarnya salah dan akibatnya saya dikenakan kompaun hari ini,” katanya ketika ditemui ketika operasi berkenaan.

Tidak kurang juga ada pelanggan premis yang mengambil mudah untuk mematuhi SOP ditetapkan malah tergesa-gesa mendaftar nama di buku log pendaftaran ketika polis membuat rondaan.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di lokasi pemeriksaan juga turut mendapati pemilik restoran gagal menyediakan pekerja di meja pendaftaran untuk memeriksa suhu pelanggan.

Pengurus premis berusia 32 tahun itu antara 15 individu berusia 21 hingga 50 tahun yang dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dalam operasi berkenaan.

Menurut pengurus premis terbabit, kekurangan kakitangan antara sebab dia gagal menugaskan seorang pekerja di meja pendaftaran pelanggan.

Sementara itu, Ketua JPJKK negeri, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata sebanyak 762 kompaun dikeluarkan sejak 1 Oktober lalu sehingga semalam berkaitan ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP.

“Antara kesalahan dikesan tiada tiada penjarakan sosial lebih kurang 30 peratus, tidak memakai pelitup muka 50 peratus manakala tidak mendaftar aplikasi MySejahtera dan menyediakan petugas untuk memeriksa suhu sebanyak 20 peratus,

“Ini terbukti masyarakat di negeri Melaka masih mengambil sikap sambil lewa dan tidak mengambil serius tentang pematuhan SOP,” katanya.

Views:

557
Kongsi :
Previous post COVID-19: Tiga kes baharu positif babit pekerja kilang
Next post Kluster Bukit: 100 kontak rapat dikesan, 8 positif COVID-19
Ubah saiz-+=