Pengantin antara 19 individu dikompaun ingkar PKP di Langkawi

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

LANGKAWI 6 Feb. – Asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan berhampiran sebatang sungai, 19 individu termasuk satu pasangan pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dipatuhi di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu, kira-kira 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari. Foto kredit Facebook IPD Langkawi

“Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan terbabit yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki, 16 perempuan) berada berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai.

“Hasil siasatan mendapat mereka tinggal di kawasan perumahan itu serta ada yang datang daripada beberapa lokasi lain sekitar pulau ini,” katanya hari ini.

Shariman berkata, anggotanya kemudian menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah.

Katanya, mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

Pada 28 Januari lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan nikah, cerai serta rujuk dibenarkan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan mulai Isnin (1 Februari) dan majlis akad nikah hanya akan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah.

Views:

1300
Kongsi :
Previous post Wanita ‘kantoi’ sorok dadah dalam pakaian dalam
Next post Bantu ibu muda ini cari ikhtiar besarkan 6 anak selepas kematian suami
Ubah saiz-+=