Ini bukan pandemik terakhir, sistem kesihatan diperkukuh – Khairy

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negara mestilah dibuat bermula sekarang, untuk membolehkan kementeriannya menangani masalah-masalah kesihatan awam bagi tahun mendatang.

Beliau berkata ini selepas mengambil kira pengajaran daripada COVID-19 serta kemungkinan berlaku pandemik lain pada masa hadapan.

“Kita tahu bahawa pandemik COVID-19 bukan hanya satu-satu pandemik yang akan dihadapi oleh manusia dan kita bakal menghadapi banyak lagi pandemik. Ini (pandemik COVID-19) bukanlah pandemik terakhir,” katanya.

Oleh itu, katanya transformasi yang mengguna pakai konsep penjagaan kesihatan berasas nilai mesti diterapkan di peringkat hospital supaya dapat menghasilkan penyelesaian kesihatan yang diingini.

“Menerusi langkah ini kita akan dapat memahami nilai pelaburan yang perlu dilabur dan dengan itu, kita percaya perbelanjaan akan menjadi lebih efisien di samping membolehkan kita meningkatkan kesamarataan ataupun kesaksamaan kesihatan dengan pelaburan yang berdasarkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sesi dialog sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Mengenai isu kekurangan bekalan ubat, Khairy berkata KKM sentiasa memantau perkara itu terutama melibatkan ubat yang mengandungi bahan aktif.

Beliau berkata berdasarkan semakan secara rawak yang dilaksanakan KKM baru-baru ini, didapati 85 peratus daripada 47 fasiliti kesihatan melibatkan hospital, klinik swasta dan premis farmasi komuniti mengalami sekurang-kurangnya satu jenis kekurangan ubat.

“Kebanyakannya adalah ubat yang digunakan untuk penyakit biasa seperti batuk, selesema, demam dan antibiotik untuk kanak-kanak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat 16 Jun lepas, sebanyak 1,231 produk yang mengandungi bahan aktif telah dihantar kepada pemegang pendaftaran produk untuk mendapatkan maklum balas daripada segi ketersediaannya.

Beliau berkata mana-mana produk yang mengalami kekurangan telah dilaporkan kepada persatuan hospital dan sebagainya supaya mereka boleh mendapatkan ubat-ubatan alternatif.

“Kedua, seperti saya umumkan minggu lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) setuju meminjamkan ubat kepada fasiliti swasta yang tidak cukup bekalan ubat,” katanya dan menambah situasi kekurangan bekalan ubat di Malaysia dijangka stabil pada bulan hadapan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Previous post Helikopter MD530G gegar ruang udara Gemas
Next post Harga siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak kemasan botol tidak diteruskan