Insentif pendidikan bantu pelajar capai keputusan lebih baik

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 12 Disember – Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan insentif pendidikan menerusi pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka menerima maklum balas positif dalam kalangan ibu bapa.

Antara insentif dinyatakan menerusi bajet itu adalah pemberian wang RM200 kepada anak Melaka yang mendapat gred A+ bagi subjek Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seorang bapa, Nor Rizan Kasim@Jasin,47, menganggap insentif itu secara tidak langsung memberi galakan kepada anak-anak di peringkat sekolah menengah untuk mempelajari tentang sejarah negara.

“Inisiatif Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab rauf Yusoh umumkan ini membuka mata masyarakat supaya tahu tentang pentingnya sejarah dalam pembentukan budaya dan bangsa kita.

“Jika sebelum ini anak-anak tidak minat subjek sejarah, selepas ini mereka lebih bersemangat untuk belajar tentang subjek ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini, hari ini.

Bagi ibu kepada dua anak, Nurul Athirah Qistina Ahmad,45, insentif pendidikan diberikan itu secara tidak langsung menarik minat pelajar untuk bersungguh-sungguh menyambung pelajaran selepas SPM.

“Bukan hanya subjek sejarah diberikan insentif, tetapi pelajar cemerlang SPM juga diberikan insentif, sudah tentu ia satu galakkan kepada anak-anak supaya belajar lebih rajin.

“Sebagai ibu, saya juga berharap para guru sentiasa kreatif mempelbagaikan kaedah pembelajaran bagi memastikan anak-anak ini berminat dalam setiap subjek yang dipelajarinya,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang, Zainariah Zainal Abidin berkata, insentif diberikan merupakan salah satu sokongan pendidikan untuk anak-anak berjaya di masa hadapan.

“Contohnya seperti insentif bernilai RM50 kepada setiap calon SPM, ini galakkan kepada anak-anak supaya berusaha mendapatkan keputusan yang baik dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Ini salah satu bukti bahawa Kerajaan Negeri tidak melupakan sektor pendidikan di negeri ini, malah memberi insentif sebagai galakkan atau sokongan untuk anak-anak Melaka berjaya di masa akan datang,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post Rangka manusia ditemui di tebing Sungai Malim
Next post Dr Dzulkefly kembali terajui Kementerian Kesihatan
Ubah saiz-+=