Inspirasi ibu teruskan kejayaan dalam bidang perundangan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 6 Disember – Mengambil inspirasi ibunya yang terus melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma 2022.

Penerima Siti Aishah Mohamad Poad,21, berkata pengajian tiga tahun di Universiti Melaka (UNIMEL) dalam Diploma Perundangan Syariah diiringi sokongan ibunya yang juga merupakan penuntut dalam bidang sama di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, ibunya terus menjadi penguat semangat kepadanya supaya tidak pernah putus harapan menimba ilmu demi melakar masa depan gemilang buat keluarganya.

“Ibu, Norabani Abdul Rashid, 52 yang telah menamatkan pengajian Sarjana dalam bidang perniagaan kini melanjutkan pengajian lagi di peringkat Sarjana Muda keduanya dalam jurusan perundangan di UiTM Shah Alam.

“Sepanjang tempoh ini saya dan ibu sering bersama-sama mempelajari ilmu perundangan di mana ibu sering mengajar saya dalam perundangan sivil.

“Alhamdulillah berkat inspirasi ini membuatkan saya dinobatkan dalam anugerah ini dan kini sedang melanjutkan pengajian sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” katanya kepada pemberita dalam Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-24, diadakan di Dewan Pusat Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Tambah Siti Aishah, pengajian perundangan bukanlah perkara yang mudah sehinggakan terpaksa mengingati dan menghafal pelbagai akta-akta berkaitan pengajiannya.

“Bukan mudah untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini cuma kita perlu membuat nota-nota penting dalam pelajaran kerana cabaran bidang ini memang susah.

“Sejujurnya memang ramai yang layak untuk menerima anugerah ini namun saya tetap bersyukur dalam kejayaan yang diterima ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5146
Kongsi :
Previous post Kerajaan import bekalan telur dari sumber luar, tampung keperluan dalam negara
Next post ‘Kawan gaduh’ rupanya jodoh, dapat ANC bersama
Ubah saiz-+=