‘Kawan gaduh’ rupanya jodoh, dapat ANC bersama

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 7 Disember – Siapa sangka daripada dikenali sebagai kawan gaduh di kampus, Mohamad Hakim Mohd Edris, 30 dan Nur Amirah Roslan, 27, kini bergelar suami isteri dan bakal menimang cahaya mata pertama.

Lebih manis, kedua-dua mereka diraikan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor Universiti Melaka (UNIMEL).

Kedua-duanya menerima penganugerahan itu daripada Canselor UNIMEL Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam pada sidang kedua Istiadat Konvokesyen Ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), petang semalam.

Menurut Mohamad Hakim, dia dan isteri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan Islam (Kepujian) dan berjaya meraih Anugerah Dekan pada setiap semester.

Menceritakan detik pertemuan mereka di UNIMEL (dahulu dikenali sebagai KUIM), Eksekutif Pengurusan sebuah syarikat swasta itu berkata, dia mengenali isteri ketika bergiat aktif dalam sebuah persatuan universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu.

“Pada waktu itu saya merupakan Pengerusi dan isteri saya Timbalan Pengerusi. Ketika itu kami tidak pernah bercinta dan hanya dikenali sebagai kawan gaduh.

“Tapi jodoh itu hadir selepas kami tamat belajar, iaitu ketika praktikal di tempat sama sehinggalah kami mengikat ikatan yang sah setahun yang lalu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Nur Amirah berkata, pembelajaran di UNIMEL banyak membantu dia dan suami ke alam pekerjaan.

Katanya, berkat pengalaman dan kejayaan dalam mengelola beberapa program ketika di institusi pengajian itu banyak membantu mereka pada hari ini.

“Antara momen indah ialah apabila kami berjaya menganjurkan program pembersihan pantai di Pengkalan Balak yang mana pada ketika itu kami menjadi antara yang pertama membuat program seumpamanya di pantai.

“Ketika itu juga kami mengetahui selok-belok dan tatacara berurusan dengan pihak pengurusan serta agensi Kerajaan Negeri dan kami banyak belajar pada waktu itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2738
Kongsi :
Previous post Inspirasi ibu teruskan kejayaan dalam bidang perundangan
Next post Masjid, sekolah baharu di DUN Paya Rumput
Ubah saiz-+=