‘Insya-Allah permintaan kambing korban tetap ada’

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

TANJUNG BIDARA 23 Jun – Menjelang Aidiladha bulan depan, penternak kambing yakin permintaan terhadap kambing korban tetap ada meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih berjalan.

Mohd Fuad Sulaiman, 36, berkata, pada Aidiladha tahun lalu, pasaran kambing korban menguncup berikutan pandemik berkenaan tetapi bagi tahun ini, dia yakin pasaran akan kembali pulih.

“Pandemik COVID-19 menyebabkan kebanyakan penternak kambing terpaksa menghadapi ujian hebat kerana tidak ramai yang membeli haiwan itu, sama ada untuk kenduri kahwin atau aqiqah kerana tidak dibenarkan mengadakan majlis kenduri.

“Sejak tahun lalu, saya dan penternak lain terpaksa memikul cabaran untuk memasarkan kambing dan ia dibebankan lagi dengan kenaikan kos bahan makanan ternakan.

“Namun saya yakin permintaan terhadap kambing korban tetap ada beberapa minggu lagi sebelum umat Islam menyambut Aidiladha dijangka pada 20 Julai depan,” katanya ketika ditemui di kandang kambingnya di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini hari ini.

Mohd Fuad menyusun kambing perap dalam peti ais di kediamannya di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.

Mohd Fuad memiliki kira-kira 100 kambing pelbagai jenis di kandangnya di kampung itu dan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina selepas memulakan industri penternakan kambing pada 2019.

Pekerja syarikat swasta itu berkata, dia bermula dengan memelihara lima kambing biri-biri ‘Barbados Black Belly’ dibeli daripada penternak di Banting, Selangor, selain jenis biri-biri ‘Santaines’ dan kambing ‘Jumnapari.’

“Alhamdulillah, kambing cepat membiak dan dengan pemakanan yang teratur, haiwan itu membesar dengan cepat.

“Untuk ibadah korban tahun ini saya sudah sediakan 20 hingga 30 kambing jantan yang sesuai dan berharap sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 akan segera berakhir,” katanya.

Katanya, kambingnya dijual pada harga antara RM850 hingga RM1,300 seekor bergantung pada jenis dan berat.

MOHD Fuad memberi makan kepada kambing biri-biri jenis ‘Barbados Black Belly’ di kandangnya di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.

Dia berkata, kambing biri-biri jenis ‘Barbados Black Belly’ dan’Santaines’ lebih banyak dipelihara penternak di Kedah, Perlis dan
Pulau Pinang berbanding di wilayah selatan, termasuk Melaka.

Berikutan pandemik COVID-19 yang masih belum reda, Mohd Fuad menceburi perniagaan kambing perap bagi menampung kos bahan makanan kambing yang bernilai RM68 bagi seguni seberat 50 kilogram.

Katanya, dia juga terpaksa memberikan lebih banyak rumput dan daun kelapa sawit berbanding bahan makanan campuran berikutan kenaikan harga bahan makanan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2465
Kongsi :
Previous post Kluster Laksamana Cheng Ho, kluster baharu di pusat jagaan warga emas
Next post Lama ‘idam’, nelayan terkejut YB hadiahkan perahu baharu
Ubah saiz-+=