Kluster Laksamana Cheng Ho, kluster baharu di pusat jagaan warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Melaka merekodkan pertambahan kluster baharu membabitkan sebuah pusat jagaan warga emas di Jalan Laksamana Cheng Ho dengan jumlah keseluruhan positif COVID-19 setakat semalam, 26 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang mengenal pasti punca penularan wabak itu, namun ia disyaki berpunca daripada jangkitan seorang warga emas lelaki yang mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri.

“Kes indeks dipindahkan dari Jelebu, Negeri Sembilan, dan bergejala sebelum disahkan positif.

“Penularan kes kemudian merebak dalam kalangan penghuni dan kakitangan seramai 51 orang.

“Hasil saringan itu, 26 disahkan positif termasuk pertambahan 14 kes hari ini manakala baki 25 individu masih menunggu keputusan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Menurut beliau, sebanyak empat kematian turut direkodkan semalam dengan dua kes masing-masing berlaku di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan dikeluarkan JKN di lama Facebook rasminya, terdapat 167 kes baharu termasuk 30 kes pertambahan daripada lapan kluster sedia ada.

Kata kenyataan itu, 33 kluster di negeri ini dan tiga kluster luar Melaka masih aktif.

“Kluster Kopitiam Machap Baru bagaimanapun diumumkan tamat hari ini (semalam) dengan jumlah keseluruhannya direkodkan sebanyak 102 kes,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post Bapa disyaki beri bayi lima bulan minum arak, ditahan
Next post ‘Insya-Allah permintaan kambing korban tetap ada’
Ubah saiz-+=