Bapa disyaki beri bayi lima bulan minum arak, ditahan

Masa Membaca:58 Saat

BALIK PULAU 23 Jun – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung rakaman video menunjukkan seorang bayi diberi minuman alkohol yang tular di media sosial semalam, dipercayai berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 19 tahun yang juga bapa kepada bayi itu ditahan di Teluk Bahang pada 1.30 tengah hari, selepas polis menerima laporan berhubung video berkenaan.

Beliau berkata video berdurasi 30 saat memaparkan seorang lelaki yang dilihat memberi minuman tin dipercayai arak kepada seorang bayi itu menjadi tular di media sosial hari ini, mengundang kemarahan ramai anggota masyarakat.

“Berikutan itu, polis menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau bayi lelaki berusia lima bulan itu telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kamarul Rizal berkata siasatan mendapati lelaki yang ditahan itu mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan dia juga merupakan orang pengawasan polis (OPP) di kawasan Teluk Bahang.

Beliau berkata lelaki itu akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

655
Kongsi :
Previous post Perbincangan mekanisme subsidi minyak masak di peringkat akhir- Khairuddin
Next post Kluster Laksamana Cheng Ho, kluster baharu di pusat jagaan warga emas
Ubah saiz-+=