Lama ‘idam’, nelayan terkejut YB hadiahkan perahu baharu

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Jun – ‘Pucuk dicita, ulam mendatang’. Itu ‘tuah’ nelayan yang hampir lemas akibat perahu karam, Yahaya Senin, 72, apabila menerima perahu gentian kaca baharu semalam.

Perahu sepanjang 5.79 meter dan luas 1.52 meter hasil disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Nelayan terbabit dan awak-awak, Marasip Aziz, 60, yang sedang menanggalkan ikan selangat tersangkut pada jaring di Pangkalan
Nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, di sini terkejut apabila perahu itu dihantar syarikat pengeluar dengan lori.

YAHAYA (kiri) dan Nor Azman (kanan) meneliti perahu gentian kaca bernilai RM7,000 menggantikan perahu uzur miliknya.

Lebih mengejutkan Yahaya ialah perahu baru itu sudah siap ditulis nombor pendaftaran perahu MKS 2058, selain dicat ungu, iaitu warna yang diwajibkan Jabatan Perikanan negeri bagi semua perahu nelayan pinggir pantai.

“Alhamdulillah saya memang sudah lama mengidamkan perahu baharu kerana perahu sedia ada sudah berusia lebih 20 tahun dan sering bocor, selain semakin mereput, apatah lagi selepas tenggelam pada 9 Jun lalu.

“Apakan daya saya untuk menempah perahu baharu kerana hidup sebagai nelayan, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya ketika ditemui di pangkalan itu semalam.

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau tidak sanggup melihat Yahaya dan Marasip memperjudikan nasib turun ke laut dengan
menggunakan perahu sudah uzur kerana ia mengundang bahaya.

“Selepas kejadian perahu Yahaya karam, saya menempah perahu baharu di Kampung Gelam dengan kos RM7,000 bagi memastikan keselamatan Yahaya dan awak-awak ketika turun ke laut mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.

Nor Azman berkata, bagi membantu nelayan lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, beliau sudah memohon peruntukan RM700,000 daripada Jabatan Perdana Menteri bagi mendapatkan 40 perahu gentian kaca dan 40 enjin motor sangkut 30 kuasa kuda.

Ia penting bagi membantu nelayan di kawasan itu yang terpaksa mencari rezeki dengan menggunakan perahu dan enjin motor sangkut
yang sudah uzur dan berbahaya, katanya.

“Permohonan itu saya kemukakan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Tan Sri
Mohd Yazid bulan lalu,” katanya.

Dalam kejadian 8.30 pagi, 9 Jun lalu, perahu yang dinaiki Yahaya dan Marasip terbalik sebelum tenggelam selepas dipukul ribut 200
meter dari gigi pantai ketika menuju ke pangkalan nelayan itu.

BERITA BERKAITAN: ‘Mati hidup semula’

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1173
Kongsi :
Previous post ‘Insya-Allah permintaan kambing korban tetap ada’
Next post Beca anak Melaka ‘gegau’ Ekspo 2020 Dubai
Ubah saiz-+=