‘Mati hidup semula’

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Jun – Karam di perairan kira-kira 200 meter dari gigi pantai bukan setakat peristiwa hitam sepanjang 40 tahun menangkap ikan, malah seperti ‘mati hidup semula’.

Saat perahu gentian kaca tenggelam dan terpaksa berpaut pada jaring ikan selangat untuk menyelamatkan diri adalah detik paling menakutkan dalam hidup nelayan, Yahaya Senin, 62, dan awak-awak Marasip Aziz, 60.

Menceritakan detik malang pada jam 8.30 pagi, 9 Jun lalu, Yahaya berkata, dia dan awak-awak turun menangkap ikan selangat pada jam 7 pagi.

“Kami menjaring satu batu nautika dari pantai dan ketika kami menarik jaring, hujan lebat dan ribut turun, menyebabkan kami terpaksa menarik jaring ke dalam perahu tanpa menanggalkan ikan yang memenuhi jaring.

“Selepas mengikat jaring dalam dua jori (tali pengikat jaring), kami bergerak untuk naik ke pangkalan tetapi 200 meter menghampiri gigi pantai, tiba-tiba tiga lapis ombak besar memukul perahu dan menyebabkan bahagian belakang perahu dimasuki air,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, di sini hari ini.

YAHAYA.

Yahaya berkata, dalam keadaan angin kencang dan hujan lebat itu, dia menjerit meminta Marasip berpaut pada jaring yang timbul kerana pelampung dalam jaring menyebabkannya tidak tenggelam.

Sambil berpaut pada jaring, Yahaya dan Marasip menggerakkan kaki masing-masing seperti gerakan berenang bagi memastikan mereka bergerak ke gigi pantai.

“Sepanjang lebih 40 tahun saya menjadi nelayan, itulah kali pertama saya karam di perairan jauh dari gigi pantai kerana sebelum itu saya pernah karam di gigi pantai semasa hendak menarik perahu naik ke pangkalan,” katanya.

PERAHU gentian kaca yang dinaikkan semula.

Dalam peristiwa dua kali karam di gigi pantai kira-kira 10 tahun lalu, hanya perahu yang tenggelam dan enjin motor sangkut rosak dimasuki air laut manakala dia terselamat kerana hanya bertarung dengan air laut pada paras dada.

“Selepas mengayuh dengan kaki kira-kira setengah jam, saya mula keletihan dan mula terasa seakan-akan kekejangan, selain sudah terbayang hari itu adalah yang terakhir saya bernafas,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana dalam keadaan hampir kekejangan itu, Allah mengizinkannya dan Marasip tiba hampir
dengan gigi pantai dan melihat lima pekerja pembersihan pantai SWM Environment Sdn Bhd (SWM) berlari mendapatkannya sambil menghulurkan buluh panjang.

TANGKAP layar video tular pekerja SWM Environment menyelamatkan mangsa perahu karam.

Dengan buluh itu, Yahaya dan Marasip ditarik naik ke pantai dan orang ramai membantu mengangkat jaring naik ke pangkalan nelayan.

Yahaya berkata, dia amat bimbang perahunya yang sudah tenggelam 200 meter dari gigi pantai tetapi rakannya membantu menaikkan perahu berkenaan bersama-sama enjin motor sangkut 15 kuasa kuda yang sudah dimasuki air pada petang kejadian.

Berikutan itu, Yahaya terpaksa membelanjakan RM200 untuk menjalankan pembaikan enjin manakala perahunya berjaya dinaikkan ke pangkalan nelayan.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak menyebabkan Yahaya menamatkan kerjayanya sebagai nelayan kerana ia adalah mata pencarian utamanya walaupun tinggal berseorangan selepas kematian isteri beberapa tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1180
Kongsi :
Previous post Pengangkutan awam beroperasi seperti biasa sepanjang sekatan pergerakan penuh
Next post In Their Own Image: European Sojourners on Early Pulau Pinang and Malay History
Ubah saiz-+=