Beca anak Melaka ‘gegau’ Ekspo 2020 Dubai

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR 23 Jun — Buat julung kalinya basikal roda tiga atau beca ciptaan anak Melaka bakal ditampilkan sebagai tarikan kepada jutaan pengunjung di Ekspo 2020 Dubai yang dijadualkan berlangsung 1 Oktober depan hingga 31 Mac 2022.

Sebanyak lapan beca disumbangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk pameran itu tiba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan diterima oleh staf Ekspo 2020 pada awal Mac lalu.

Pengarah Tourism Malaysia Dubai, Shahrin Mokhtar dilapor berkata, semua beca itu buatan tangan dan dihasilkan dalam masa dua bulan oleh pembuat beca tradisional di Melaka.

“Beca menggambarkan ciri unik warisan, budaya dan masyarakat Malaysia. Kenderaan terbabit adalah mod pengangkutan asal sejak abad ke-20 sebelum ketibaan teksi dan bas awam yang lebih selesa.

“Ribuan beca membentuk sistem pengangkutan Malaysia pada zaman dahulu, khususnya dalam kalangan komuniti Peranakan di Melaka dan Pulau Pinang serta masyarakat Melayu di Kelantan dan Terengganu, yang mana kenderaan itu digunakan untuk mengangkut penumpang dan juga barangan,” katanya dalam laporan portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

BECA buatan Melaka yang siap dipasang sebelum dihantar ke Dubai. Foto – Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC).

 

Bertemakan ‘Connecting Minds, Creating the Future’, Ekspo 2020 Dubai yang ditadbir oleh Bureau International des Exposition adalah pameran global yang disertai oleh 192 negara dan organisasi termasuk Malaysia.

Ia dianjurkan semula selepas tertunda setahun akibat pandemik COVID-19 dan ia peluang terbaik untuk Malaysia menarik perhatian jutaan pelawat dari UAE dan seluruh dunia.

Menurut Shahrin pameran itu antara peluang terbaik Malaysia untuk menarik perhatian jutaan pelawat dari UAE dan juga seluruh dunia.

Katanya, pameran selama enam bulan itu turut menjanjikan pelbagai acara harian menarik untuk santapan mata pengunjung serta mengetengahkan teknologi terbaik selain meraikan budaya masyarakat dunia.

“Kebudayaan dan pelancongan akan menjadi paparan utama yang dipamerkan sepanjang masa di Pavilion Malaysia menerusi segmen ‘Energising Harmony’.

“Pelawat berpeluang melihat secara sekilas keistimewaan Malaysia ‘Truly Asia’ yang memiliki berbagai budaya dengan rakyat pelbagai kaum tinggal secara harmoni, menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya sambil menambah penyertaan Malaysia di ekspo berkenaan diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau berkata, Malaysia turut mempamerkan pertunjukan harian budaya dan demonstrasi kraftangan di ekspo berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

974
Kongsi :
Previous post Lama ‘idam’, nelayan terkejut YB hadiahkan perahu baharu
Next post Penolong setiausaha kementerian ditahan dipercayai terima suapan lebih RM1 juta
Ubah saiz-+=