Inventori MSM Malaysia naik 17.4 peratus pada April 2022 – MPOB
KUALA LUMPUR, 10 Mei- Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat kepada 891,779 tan pada April 2022, menokok 17.4 peratus daripada 759,732 tan pada Mac berikutan pengeluaran yang lebih tinggi, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
MPOB berkata inventori minyak sawit diproses turut bertambah 5.2 peratus bulan ke bulan kepada 750,215 tan daripada 713,112 tan sebelum ini.
Secara keseluruhannya, stok minyak sawit meningkat 11.5 peratus kepada 1.64 juta tan daripada 1.47 juta tan pada Mac, kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.
Bagi pengeluaran, MPOB berkata output MSM naik 3.6 peratus bulan ke bulan kepada 1.46 juta tan berbanding 1.41 juta tan sebelum ini.
Pengeluaran isirung sawit menokok 2.23 peratus kepada 367,159 tan daripada 359,165 tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran minyak isirung sawit melonjak 4.59 peratus kepada 168,068 tan daripada 160,693 tan pada Mac.
Sementara itu, MPOB berkata, eksport minyak sawit merosot 17.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.05 juta tan pada April berbanding 1.28 juta tan pada Mac.
Bagaimanapun, eksport minyak isirung sawit menokok 7.2 peratus bulan ke bulan kepada 74,203 tan berbanding 69,221 tan pada bulan sebelumnya.
Eksport oleokimia berkurangan 0.46 peratus bulan ke bulan kepada 242,863 tan pada April berbanding 243,978 tan sebelum ini, manakala eksport biodiesel melonjak 47.68 peratus bulan ke bulan kepada 23,411 tan daripada 15,853 tan, katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.