Invest Melaka elak bayaran ‘bawah meja’ dalam urusan pelaburan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 23 Sept. Pengwujudan semula Invest Melaka Berhad boleh mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap pelabur termasuk meminta bayaran ‘bawah meja’ bagi urusan pelaburan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Datuk Roslan Ahmad berkata, ini kerana Invest Melaka Berhad berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelabur tempatan dan asing dalam mendapatkan segala maklumat untuk melabur di Melaka.

Katanya, dari segi prosedur standard sememangnya sudah disediakan termasuk bayaran borang, fi dan sebagainya, namun kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan.

“Sebab itu kita wujudkan Invest Melaka supaya kita tak nak ada dalam kalangan kita (pegawai dan sebagainya) yang ambil kesempatan daripada pelabur-pelabur ini.

“Sebab mereka tak tahu apa-apa, datang sini kosong…mereka tak tahu peraturan, tak tahu SOP.

“Jika ada pegawai atau ahli kalangan kita atau ejen luar mengaku dia boleh membantu (pelaburan), kemudian dia kenakan fi dan sebagainya. Sebab itu kita nak elak, kita wujudkan Invest Melaka,” katanya pada sidang media selepas penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu itu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir, Datuk Teh Kok Kiew pada sesi pertanyaan lisan di sidang DUN.

Teh menyatakan dia menerima aduan daripada pelabur bahawa mereka dikenakan bayaran tertentu untuk urusan pelaburan di Melaka.

Roslan berkata, dengan mewujudkan Invest Melaka Berhad, kerajaan negeri turut menyediakan garis panduan khusus mengenai apa yang perlu dan tidak perlu dibayar oleh pelabur.

“…jadi mereka (pelabur) senang hati untuk memulakan pelaburan…tiadalah duit bawah meja, pendahuluan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, Invest Melaka Berhad dibuka semula pada penghujung tahun lalu selepas ditutup pada era pentadbiran Pakatan Harapan.

Katanya, Invest Melaka dahulunya adalah anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang mana ketua menteri selaku pengerusi dan beliau sebagai timbalan.

“Mengambil kira keperluan semasa tentang peranan dan fungsi Invest Melaka Berhad ini dahulu dan kita rasa sewajarnya diwujudkan semula untuk menyelaras apa jua pelaburan yang nak masuk ke negeri Melaka.

“…sama juga fungsi dan peranan kita menubuhkan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) sebagai regulator kepada pembangunan, kemajuan di sekitar persisir laut pantai Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post 500,000 peluang kerja tahun ini bakal dicapai – PM
Next post Peguam negara diminta gubal RUU Anti Lompat Parti
Ubah saiz-+=