Ismail Sabri bertemu masyarakat Bera buat pertama kali sebagai PM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BERA 28 Ogos – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini pulang ke Parlimen Bera bagi melakukan lawatan kerja dan bertemu masyarakat buat kali pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau sebelum itu menziarahi pusara ayahnya, Allahyarham Yaakob Abdul Rahman dan ibu, Allahyarhamah Wan Jah Wan Mamat di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh kira-kira 11 pagi.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam di tanah perkuburan itu sambil membacakan doa dan surah Yassin.

Ismail Sabri kemudian ke Kampung Batu Bor di sini bagi meninjau Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang dilaksanakan Tentera Darat melalui pasukan 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

ISMAIL Sabri meninjau Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang dilaksanakan Tentera Darat melalui pasukan 10 Briged Para
di Kampung Batu Bor, Bera Pahang hari ini. Foto kredit PMO

Selepas itu, beliau menyampaikan bakul makanan kepada wakil penduduk Kampung Kuala Bera dan kawasan sekitarnya ekoran pandemik COVID-19 dalam majlis ringkas di Masjid Jamek Kuala Bera di sini kira-kira 2.30 petang.

Ismail Sabri disambut meriah sekumpulan penduduk sejurus tiba di masjid berkenaan dengan ucapan tahniah dan ada yang mengambil kesempatan bergambar dengannya.

Ahli Parlimen Bera itu turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada wakil beberapa lagi kampung di Masjid Tengku Abdullah Kuala Triang di sini.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Ogos lepas di Istana Negara.

Semalam, beliau mengumumkan senarai barisan Kabinet berorientasikan hasil yang merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat bagi membebaskan Malaysia daripada pandemik COVID-19.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

861
Kongsi :
Previous post Contohi MPHTJ beri vaksin kepada peniaga – KM
Next post Pasar segar FAMA di bawah subsektor pelancongan pertanian
Ubah saiz-+=