Sorting by

×

Pasar segar FAMA di bawah subsektor pelancongan pertanian

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

REMBIA 28 Ogos – Promosi Pasar Segar Terkawal (PST) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka akan dipergiatkan seluruh negeri melalui kerjasama di bawah subsektor Pelancongan Pertanian negeri.

Exco Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati kemudahan harga barang pasar segar yang dijual lebih murah di bawah program PST.

Menurutnya, ia terbukti melalui sambutan mengalakkan daripada penduduk DUN Rembia apabila program PST diadakan di JAPERUN Rembia selama empat hari bermula 8 Ogos lalu.

“Misalnya, harga ayam daripada RM8.50 sekilogram diturunkan kepada RM6.50 sempena program PST,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program PST sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-64 anjuran FAMA Melaka di perkarangan Japerun Rembia di sini hari ini.

Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, progam PST akan digerakkan secara jelajah ke setiap JAPERUN manakala road tour PST seterusnya akan bergerak ke JAPERUN Lendu.

“Program PST ini sudah terbukti keberkesanannya kerana ia memberi alternatif pilihan harga yang lebih kompetitif untuk keseluruhan rakyat di negeri ini.

“Melalui portfolio Pelancongan negeri, kita akan sokong usaha ini dari segi siaran, promosi dan pada masa yang sama kita menghargai kerjasama dan komitmen FAMA menjayakan pelaksanaan program ini,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan PST secara mingguan di JAPERUN ini bukan sahaja berupaya meningkatkan kembali sumber pendapatan usahawan, malah membantu kerajaan dalam menyediakan hasil pertanian secara berterusan.

Ujar Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri itu, selain menawarkan harga yang lebih rendah kepada pengguna, PST juga menyediakan kemudahan ruang berniaga kepada usahawan tani untuk memasarkan produk mereka.

Katanya, sejak diperkenalkan Jun lalu sehingga kini, program PST berjaya mengumpul hasil jualan sebanyak RM20,000 membabitkan penyertaan 11 orang usahawan tani yang beroperasi secara mingguan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

809
Kongsi :
Previous post Ismail Sabri bertemu masyarakat Bera buat pertama kali sebagai PM
Next post Ziarah kubur di luar musim perayaan dibenarkan – MKN
Ubah saiz-+=