Isu bekalan air di Rim sejak 30 tahun selesai tujuh bulan lagi

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

RIM 3 Dis – Keluhan penduduk di tiga kawasan di Jasin yang berdepan dengan isu bekalan air sejak 30 tahun lalu akan diselesaikan menjelang pertengahan tahun hadapan.

Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Zaidi Attan berkata, kerajaan negeri memberi jaminan selain tiga lokasi iaitu di Kampung Seri Kesang, Taman Seri Kemendor dan Kampung Felda Kemendor, isu pembekalan air bersih di daerah Jasin akan diselesaikan sewajarnya.

Jelasnya, projek pembesaran Loji Air Chin Chin yang menelan kos sebanyak RM45 juta yang dijangka siap pada Jun tahun hadapan bakal menampung bekalan air bersih di daerah berkenaan.

“Proses untuk pembesaran loji dilaksanakan di Chin Chin ini adalah untuk membekalkan kawasan seluruh kawasan daerah Jasin di sebelah barat ini.

“Insya-Allah, pembesaran ini akan membawa penambahan air bersih lebih kurang 30 juta liter air sehari (MLD) dengan pelan kompak terbaru yang dijangka siap pada penghujung Januari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Loji Air Chin Chin di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

ZAIDI Atan

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, SAMB turut merancang menyelesaikan keseluruhan proses penghantaran air untuk menangani tekanan air daripada Loji Air Bertam.

“Sebenarnya kita di syarikat air merancang untuk membekalkan air bukan hanya di Jasin, kita sedang menyelesaikan keseluruhan proses penghantaran air untuk menangani masalah stres air daripada Loji Air Bertam yang telah kita gunakan tanpa ada penyelenggaraan berjadual sebelum ini.

“Kita kena urus sumber air bekalan air bersih baharu bagi menjamin bekalan di kawasan bandar dan kita dah urus pun dengan penambahan lebih kurang 50 MLD lagi daripada Loji Air Merlimau yang akan kita hantar ke kawasan bandar.

“Jadi keseluruhan ‘production’ daripada loji itu kita tingkatkan keupayaan lebih daripada 100 MLD yang akan kita hantar fokus kepada kawasan bandar untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih kepada seluruh negeri Melaka.,” katanya.

KHAIDHIRAH

Sementara itu, Khaidhirah berkata, kerajaan negeri memberi jaminan tiada lagi isu rakyat di kawasan terjejas di DUN berkenaan perlu berulang-alik bagi mendapatkan sumber air bersih di tangki bergerak sepanjang tempoh menunggu kerja-kerja pembesaran loji dan pengurusan sistem air dijalankan.

“Dalam masa nak menunggu loji air ini siap, pihak SAMB telahpun menyediakan jumbo tanker untuk memastikan bekalan air tidak lagi perlu diambil dan simpan dalam baldi.

“Tapi memang akan terus pergi sampai ke dalam sistem piping rumah terus. Bagi memastikan sekiranya berlaku ada water stress level di mana-mana loji, khususnya di Bertam, dan sambil nak tunggu Chin Chin ini siap, jumbo tank akan membantu untuk sekurang-kurangnya bagi keperluan harian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1492
Kongsi :
Previous post SBPI Selandar beroperasi seperti biasa
Next post Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya ditutup, 135 lagi positif COVID-19
Ubah saiz-+=