Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya ditutup, 135 lagi positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

CYBERJAYA 3 Dis – Sekolah Seri Puteri di sini diarahkan tutup buat sementara waktu susulan terdapat 135 kes baharu positif dikesan membabitkan warga sekolah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, penutupan sekolah berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, satu taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan turut diadakan mengenai perkembangan kes terbabit.

“Selain aktiviti saringan dan pengasingan kes positif dan kontak rapat, sekolah terbabit diarahkan ditutup sementara di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

“Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal selain sesi taklimat bersama PIBG sekolah tersebut,” katanya seperti dipetik dalam laporan portal di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, sekolah berkenaan diumumkan sebagai kluster pada 29 Nov dan dikenali Kluster Persiaran Tasik.

“Susulan daripada pengesanan kes-kes ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah melakukan saringan daripada 26 Nov hingga 3 Dis 2021 ke atas 973 orang warga sekolah dan mendapati 135 kes baharu positif COVID-19.

“Ini menjadikan keseluruhan kes COVID-19 dalam kluster ini seramai 143 orang iaitu 114 murid, 19 guru, dan 10 kakitangan; dengan kadar serangan 14.7 peratus.

“Daripada 143 kes positif, 106 kes dalam Kategori 1 manakala 35 kes adalah Kategori 2A dan dua kes dalam Kategori 2B melibatkan seorang guru dan seorang murid,” katanya.

Beliau berkata, semua yang positif termasuk seorang guru berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

Sementara itu, Hisham berkata pihaknya turut mengesan 700 kontak rapat iaitu 603 murid, 59 guru, dan 38 kakitangan.

“Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1048
Kongsi :
Previous post Isu bekalan air di Rim sejak 30 tahun selesai tujuh bulan lagi
Next post Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka 2021 buka tirai
Ubah saiz-+=