Isu Bukit St Paul: ISMA harap nama Bukit Melaka dikembalikan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 18 Ogos – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka menzahirkan harapan agar kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersetuju dengan cadangan untuk menukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka seperti yang diusulkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Ketua Perhubungan Negeri (KPN) ISMA Melaka Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, pihaknya mengharapkan agar pihak berkaitan dapat melihat cadangan tersebut dari sudut pandang positif dan membuat penilaian berdasarkan faktor sejarah, bukannya daripada tekanan mana-mana pihak.

“Kerajaan negeri dalam perkara ini perlu berpegang pada sejarah tanpa menjadikan isu politik, kaum dan agama untuk suatu keputusan yang tepat.

“Kita harap cadangan untuk mengembalikan nama Bukit Melaka ini dapat dipersetujui pihak berkenaan dan dapat direalisasikan kerajaan negeri, dalam masa sama ISMA akan terus mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjung hormat Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Mohd Nasruddin Rahman di Kompleks Warisan Melaka Banda Hilir, di sini.

Dalam pertemuan itu, ISMA telah menyerahkan 16,388 tandatangan rakyat Malaysia yang menyokong cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka kepada Mohd Nasruddin.

Jelas Mohd Khoushaini, dokumen setebal 190 muka surat itu adalah untuk menyokong cadangan PERZIM untuk mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan yang pada awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

“Dokumen yang diserahkan hari ini juga bagi mewakili suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan penukaran nama tersebut dilaksanakan sekaligus menyokong kertas kerja PERZIM untuk menukar nama berkenaan sebelum dibawa ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan.

“Petisyen ini juga selaras dengan slogan kempen Pemuda ISMA sempena bulan kemerdekaan 2020 iaitu ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’. Slogan ini lahir daripada kesedaran untuk mengembalikan jati diri negara Malaysia yang berteraskan Melayu dan Islam,” katanya.

Views:

349
Kongsi :
Previous post Hari Belia Peringkat Negeri Melaka bakal diadakan September
Next post Peruntukan RM177,636 caruman buat pengayuh beca, pemandu teksi
Ubah saiz-+=