30dewanrakyat

Isu perkahwinan bawah umur bakal dikupas di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Isu berhubung usaha membanteras perkahwinan bawah umur dalam negara dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) kepada Kementerian Belia dan Sukan pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Pada sesi itu juga, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) akan membangkitkan persoalan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengenai kaedah mengawal dan menguruskan trend perubahan harga bekalan baja dan racun yang naik mendadak, serta inisiatif khas untuk menaikkan pendapatan petani dan peladang bagi menampung kenaikan harga kos bekalan input pertanian.

Persidangan akan diteruskan dengan sesi soal jawab dan antara tumpuan adalah soalan daripada Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) kepada Kementerian Kesihatan mengenai sama ada doktor pakar bukan klinikal dengan kelayakan ikhtisas diberi layanan sama rata dengan doktor pakar klinikal dari segi penjawatan, penggajian, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Selain itu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) meminta penjelasan Kementerian Sumber Manusia mengenai langkah bagi mengatasi masalah isu p-hailing yang tiada perlindungan keselamatan sosial, gaji tetap, pengiktirafan sebagai pekerja dan perlindungan di bawah Akta Kerja 1955.

Selepas sesi itu, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sambungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,526,793,800 kepada Kementerian Pengangkutan dan sebanyak RM520,275,300 kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Bajet 2022.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

35
radzi Previous post 65 pelajar SBP di Cyberjaya positif COVID-19
Untitled Next post COVID-19: 73 positif, 451 disaring di Sekolah Seri Puteri