Isu tambak laut berlaku zaman Idris jadi KM – Mohamad Ali

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KLEBANG 7 Okt – Isu projek tambak laut di pesisir pantai Melaka sebagaimana didakwa Datuk Seri Idris Haron sudah berlaku ketika pentadbirannya sebagai Ketua Menteri ke-10, kata Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Beliau mendakwa, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu dalam sidang media sebelum ini sengaja mendedahkan perkara itu untuk mengelirukan rakyat.

“Saya hendak menjawab (dakwaan) Datuk Idris mengenai projek tambak laut supaya lebih penjelasan kepada orang ramai.

“Zaman dia (ketika menjadi Ketua Menteri) pun ada kelulusan ribuan ekar tambak laut. Kenapa hari ini bila ada kelulusan tambak laut dia persoalkan?

“Saya nak maklumkan, projek tambak laut ini memberikan keuntungan besar kepada kerajaan Negeri Melaka.

“Pertama, tanah Melaka akan jadi lebih besar, kemudian setiap tanah daripada proses tambak laut, Kerajaan Negeri dapat habuan satu per enam daripada setiap tambakan laut,” katanya pada sidang media di kediamannya lewat malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri turut mendapat faedah daripada cukai yang dikenakan daripada penambakan laut itu.

Katanya, pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan Klebang hingga ke Kota Laksamana hasil daripada penambakan laut bernilai puluhan juta ringgit ditanggung sendiri oleh pemaju.

“Kerajaan negeri tidak keluar satu sen pun dan setiap tahun kerajaan negeri dapat cukai bandar tambak laut bernilai ratusan juta hasil cukai tanah dikenakan itu.

“Ini adalah proses sebagai pemimpin kerajaan, mesti ada satu idea atau pendekatan bagaimana nak dapatkan hasil kerajaan di samping pembangunan tersusun atur seperti mana pembangunan projek tambak laut.

“Banyak benda cuba diputar belitkan Datuk Idris, saya fikir benda ini tak payahlah,” jelasnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1600
Kongsi :
Previous post “Kita tidak pertikai kuasa TYT” – PH Melaka
Next post Melaka dijangka capai kadar 90 peratus populasi dewasa divaksin hari ini
Ubah saiz-+=