Jabatan Mufti Melaka tawar perkhidmatan tentukan arah kiblat kediaman

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Okt. – Jabatan Mufti Melaka bermurah hati menawarkan perkhidmatan menentukan arah kiblat di kediaman umat Islam di negeri ini bagi memastikan mereka menunaikan solat dengan menghadap tepat ke Baitullah.

Bagi mendapatkan perkhidmatan itu, pemilik kediaman hanya perlu menentukan waktu dan tarikh yang kediaman mereka boleh didatangi pegawai jabatan berkenaan bagi tujuan berkenaan.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perkhidmatan itu bertujuan memastikan umat Islam di negeri ini menunaikan solat dengan arah kiblat yang benar-benar tepat ke Baitullah di Masjidil Haram, Makkah.

“Alhamdulillah, kita sediakan perkhidmatan itu dengan bayaran RM100 kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) demi kesejahteraan ibadat umat Islam di negeri ini.

“Sebelum ini kita hanya membantu hal itu di masjid dan surau, terutama yang baharu hendak dibina,” katanya pada sidang media selepas perasmian Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, dekat sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim.

Galeri berkenaan menggunakan teknologi ‘Virtual Reality’ (VR) dan ‘Augmented Reality’ (AR) bagi memberikan pengalaman berada dalam dunia astonomi sebenar
kepada pengunjung.

Jabatan Mufti Melaka yang mentadbir kompleks berkenaan bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi menyediakan teknologi berkenaan.

Abdul Halim juga berkata, jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bekerjasama bagi memajukan industri pelancongan agama sebagai industri pelancongan ke-14 di negeri ini.

Katanya, selain Kompleks Falak al-Khawarizmi yang memiliki pelbagai kelengkapan berkaitan astronomi, pelbagai aspek lain berkaitan agama yang mempunyai kesan sejarah harus dimajukan.

“Melaka mempunyai sejarah kedatangan Islam dari Hadramaut yang alim ulamanya meninggal dunia di sini dan makam mereka berada di sini dan ia boleh dijadikan
daya tarikan untuk mereka yang mencintai ulama.

“Selain itu, kitab karangan mereka juga boleh dipamerkan bagi memajukan industri pelancongan agama,” katanya.

Views:

2371
Kongsi :
Previous post Agong mahu ahli politik bermuhasabah, tidak ulangi kancah politik tidak menentu
Next post Bunyi letupan beberapa kali – Nor Lenny
Ubah saiz-+=