Jabatan Perkhidmatan Veterinar keluar panduan SOP urus ibadah korban

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI  5 Julai – Beberapa panduan dan prosedur operasi standard (SOP) telah dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada umat Islam sebagai panduan bagi menguruskan ibadah korban tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor berkata, SOP yang disediakan jabatan itu bagi menjurus kepada memberi galakan agar ibadah korban dilakukan di rumah sembelihan seliaan DVS, Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan termasuk masjid, surau, kawasan awam dan persendirian yang diluluskan DVS.

Dr. Norlizan

Jelasnya, bagi mana-mana pihak yang ingin manjalankan ibadah di luar lokasi berkenaan perlu mendapatkan kebenaran penyembelihan daripada jabatannya sekurang-kurangnya tiga hari sebelum melaksanakan ibadah terbabit.

“Kita tidak menggalakkan mana-mana pihak yang terlibat dalam ibadah korban bagi berhimpun beramai-ramai malah perlu mengamalkan penjarakan sosial.

“Malah kami tidak menggalakkan golongan berusia lebih 60 tahun termasuk kanak-kanak di bawah lapan tahun bagi menghadiri ibadah ini.

“Pada masa sama semua pihak perlulah mengamalkan sikap ‘3 S’ iaitu memastikan daripada mengelak menghadiri kawasan yang sempit, sesak dan dalam keadaan bersembang dengan begitu dekat dan inilah tatacara yang perlu diterapkan kepada pihak yang terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Lawatan Kerja Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Linggi.

Tambah beliau, permohonan tersebut mensyaratkan ternakan perlulah menjalani pemeriksaan dan mempunyai sijil kesihatan veterinan bagi memastikan ia benar-benar sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

“Malah, pegawai yang bertugas juga akan ditempatkan di kawasan yang terlibat bagi memastikan dan memantau SOP yang ditetapkan itu sentiasa dipatuhi,” katanya.

Views:

350
Kongsi :
Previous post Perbincangan buka semula sempadan antarabangsa masih berjalan
Next post Anggota polis maut motosikal rempuh lori
Ubah saiz-+=