Anggota polis maut motosikal rempuh lori

Masa Membaca:59 Saat

ALOR GAJAH, 5 Julai – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori sampah dalam kejadian di Jalan Brisu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira- kira jam 11.15 pagi, mangsa Mohd Zaini Mahat, 33, yang bertugas di Balai Polis Tengkera, maut dilokasi kejadian akibat pendarahan di kepala, dada serta abdomen.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135  dalam perjalanan dari arah Simpang Ampat menghala ke Lubok China.

Beliau berkata, difahamkan mangsa bersama lapan motosikal bergerak secara konvoi dari Tengkera pada jam 9.30 pagi menuju ke Lubok China.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong sebuah motosikal ketika melalui lokasi kejadian.

“Akibatnya motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu terlanggar bahagian hadapan kiri lori sampah,” katanya.

Arshad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi  proses bedah siasat.

“Lelaki pemandu lori berusia 26 bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dia negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa meninggalkan seorang balu dan bayi perempuan berusia 8 bulan.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Jabatan Perkhidmatan Veterinar keluar panduan SOP urus ibadah korban
Next post ‘Seronok’ separuh jalan
Ubah saiz-+=